Berita

Lapan pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar terbabit kemalangan jalan raya

- Diterbit 26 Januari 2025 7:02 PM MYT

LAPAN pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir terlibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Port Said, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam (waktu tempatan).

Education Malaysia Eqypt (EME) memberitahu, lima pelajar mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital As Salam Port Said.

Mereka adalah Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon.

“Tiga lagi pelajar, Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi ditempatkan di wad untuk pemerhatian lanjut oleh pihak hospital,” katanya dalam kenyataan.

EME menambah, kejadian itu mendapat perhatian pihak Universiti Al-Azhar apabila mereka menghantar pegawai dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Mahasiswi) kampus Port Said, Dr Syaima Amir Al Bana, Dr Fauziyah Muhallal, Dr Ahmad Al Sudani dan Syaima’ Al Huseini untuk membantu rawatan pelajar, seterusnya memudahcarakan pengurusan bersama pihak hospital.

Selain itu katanya, Setiausaha Pertama (Pendidikan EME, Ahmad Salehuddin Shafie dan Muhammad Nazirul Mubin Abdul Rahman, turut bergegas ke Hospital As Salam Port Said untuk melihat sendiri keadaan pelajar terlibat.

“Menjelang awal pagi ini, tiga pelajar yang dirawat dalam wad telah selamat dibawa ke Hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan lanjut.

“EME mendoakan agar kesemua pelajar terlibat akan sembuh seperti sedia kala dan diberikan kekuatan sepanjang rawatan. EME juga menasihatkan pelajar agar sentiasa berhati-hati dan waspada dalam menjalankan sebarang aktiviti agar terpelihara daripada sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas