Berita

Vandalisme: Lapan lokasi di Pekan alami gangguan liputan internet

KESAN vandalisme ke atas menara komunikasi Kampung Gasak, Pekan, Pahang.
- Diterbit 18 Ogos 2023 7:51 AM MYT

KIRA-KIRA lapan lokasi di Kampung Gasak Chini di daerah Pekan, Pahang menghadapi gangguan liputan telekomunikasi akibat daripada salah satu menaranya yang mengalami kerosakan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan hasil tinjauan pihaknya mendapati kerosakan yang dialami adalah akibat daripada vandalisme.

“Kerosakan melibatkan peralatan elektronik yang tidak boleh digunakan semula dan terpaksa diganti dengan yang baharu tertakluk kepada stok tersedia.

“Akibat daripada kerosakan tersebut, perkhidmatan telekomunikasi seperti Celcom, Digi dan Maxis telah mengalami gangguan liputan perkhidmatan 4G memandangkan menara di Kampung Gasak merupakan menara collector dan Multi Operator Core Network (MOCN),” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambahnya, gangguan liputan ini turut memberi kesan kepada lapan lagi menara lain yang dirangkaikan melalui menara ini.

“Antaranya adalah Pekan Chini, Chini, Kampung Gemapai. Ramo Chini 3, Felda Chini Timur 1, Felda Chini 5, Chini Plantation dan Chini Timur 2.

“Kerja-kerja baik pulih akan mengambil masa berikutan kerosakan teruk kepada menara komunikasi Kampung Gasak,” ujarnya.

MCMC berkata usaha-usaha sedang giat dijalankan oleh pihak CelcomDigi yang mencari penyelesaian jangka pendek dan interim dengan perkongsian bandwidth daripada gentian optik sedia ada di Pekan Chini.

“Oleh kerana bandwidth yang terhad, hanya beberapa menara sahaja dijangka akan dapat dipulihkan untuk perkhidmatan sementara disediakan selewat-lewatnya pada Sabtu, 19 Ogos 2023,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas