LAPAN individu terdiri daripada tiga pasangan suami isteri dan dua lelaki ditahan kerana dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham, dalam serbuan berasingan di empat buah rumah di Melaka tengah malam tadi.
Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman, kesemua yang ditahan berusia antara 28 dan 71 tahun terdiri daripada pesara kerajaan, pekerja swasta, bekerja sendiri dan suri rumah sepenuh masa.
“Pihak berkuasa menerima aduan awam mengenai terdapatnya penyebaran dan pengamalan ajaran Millah Abraham yang telah difatwakan di negeri itu sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.
“Satu serbuan dilaksanakan bagi memeriksa dan menggeledah rumah dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham melibatkan 70 kekuatan anggota pihak berkuasa dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dalam penggeledahan di rumah berkenaan, pelbagai barangan kes disita antaranya buku berkaitan ajaran Millah Abraham seperti Ruhul Qudus Eksistensi dan Esensi Al-Quran, Jalan Kebenaran Universal, Renungan Spiritual dan Membaca Alam Membaca Zaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata beberapa peralatan elektronik seperti komputer riba dan telefon bimbit turut dirampas untuk analisis forensik bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut.
“Berdasarkan soal siasat dijalankan, suspek mengaku pengajian pengikut ajaran tersebut dilakukan secara dalam talian menerusi beberapa aplikasi tertentu dan mereka juga aktif merekrut ahli baharu yang terdiri daripada keluarga dan kenalan.
“Kesemua yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu menghina agama Islam dengan mengingkari atau melanggar fatwa telah diwartakan.
“Mereka juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60 enakmen sama iaitu kesalahan ajaran salah dan Seksyen 48 iaitu kesalahan penerbitan agama yang berlawanan dengan hukum syarak,” katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka.
Sementara itu, Rahmad meminta masyarakat Islam khususnya di Melaka supaya menjauhi mana-mana fahaman atau ajaran telah difatwakan dan diwartakan sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang ajaran sesat di negeri itu segera melaporkan JAIM agar akidah umat Islam sentiasa terpelihara. – WILAYAHKU