MEMAHAMI situasi ekonomi semasa dan kedudukan kewangan semua pihak yang terkesan berikutan penularan wabak Covid-19, Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan selaku Pihak Berkuasa Negeri, telah melanjutkan tarikh akhir bayaran Cukai Tanah dan Cukai Petak bagi tahun 2020.

Menurut Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Che Roslan Che Daud, pelanjutan tempoh bayaran selama 6 bulan, mulai 1 Jun sehingga 30 November 2020 dibuat tanpa dikenakan sebarang denda lewat.
Keputusan tersebut, katanya merupakan antara bukti keprihatinan pihak Kerajaan terhadap kesukaran yang sedang dihadapi oleh rakyat.
Beliau berkata, pelanjutan tarikh akhir bayaran kedua-dua cukai tersebut adalah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta di seluruh Wilayah Persekutuan iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Inisiatif prihatin ini akan dapat memberi manfaat kepada sejumlah 298,405 pembayar Cukai Tanah dan Cukai Petak dalam kalangan warga kota di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
“Keputusan Kerajaan melanjutkan tarikh akhir bayaran Cukai Tanah dan Cukai Petak selama enam (6) bulan ini sudah pastinya memberi kelegaan kepada warga Wilayah Persekutuan.
“Khususnya mereka yang terkesan dari sudut ekonomi dan kewangan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai selaras Kanun Tanah Negara (KTN) 1965,” katanya dalam kenyataan kepada Wilayahku di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebarang pertanyaan mahupun maklumat lanjut berkenaan keputusan pelanjutan tempoh pembayaran cukai tersebut, orang ramai boleh menghubungi talian berikut.