LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah proaktif menangani isu kekurangan bekalan kelapa di pasaran dengan meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia.
Langkah ini diambil untuk memastikan bekalan mencukupi bagi kegunaan domestik terutama menjelang musim perayaan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan berkata, pada masa kini, FAMA sedang dalam proses perundingan dengan pembekal baru dan perundingan peningkatan pembelian dengan pembekal sedia ada di
Indonesia.
“Di samping itu, usaha mengenal pasti kawasan baharu pengeluaran kelapa sedang diperluas dengan memberi perhatian kepada kawasan produktif di Sabah dan Sarawak.
“FAMA turut mengenal pasti kawasan pengeluaran kelapa di Sabah dan Sarawak untuk dibawa ke Semenanjung.
“Anggaran jumlah kelapa yang akan di bawa masuk ke Semenanjung adalah sebanyak 500 tan metrik sebulan bermula Februari ini,” ujarnya.
Dalam usaha memperkukuhkan industri ini juga, PKM bersama Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui pelaksanaan Projek AgroDefence akan memfokuskan penanaman kelapa di tanah milik MINDEF yang berpotensi untuk dibangunkan dengan penanaman kelapa.
“Projek ini akan memanfaatkan tanah yang tidak digunakan secara optimum untuk pertanian bagi meningkatkan pengeluaran domestik kelapa.
“Pada masa yang sama, KPKM mengalualukan penyertaan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta untuk menceburi industri ini.
“Selain daripada itu, para petani dan usahawan yang berminat untuk mengusahakan tanaman kelapa boleh berbuat demikian dengan menghubungi Jabatan Pertanian untuk khidmat nasihat teknikal berkaitan,” katanya.
KPKM juga menyeru semua pekebun kecil kelapa di semua daerah untuk menghantar dan mengumpulkan hasil tanaman kelapa di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian yang dikelola oleh FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di seluruh negara bagi akses pasaran yang lebih luas dan menjamin harga jualan yang kompetitif bagi pekebun kecil. – WILAYAHKU