USAHA menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digelar ‘Langkah Dubai’ – seperti dilaporkan beberapa hari lalu tidak memberi kesan kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Anwar yang mengakui maklum mengenai perkara tersebut berpendapat ia tidak perlu diberikan perhatian kerana ia membuang masa.
“Saya baca mengenai Langkah Dubai tapi bagi saya kita tumpu soal kerja. Itu kerja (gerakan jatuhkan kerajaan) mereka bagi saya tidak beri kesan dan yang penting kita sudah mula 2 Januari lancarkan satu program penting bagi rakyat,” tegas Perdana Menteri ketika ditemui media selepas meluncurkan Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Ketika ditanya mengenai kerajaan pimpinan beliau masih kekal mentadbir Putrajaya disebalik propaganda yang dimainkan pihak-pihak tertentu, Anwar hanya mengungkapkan kalimah Alhamdulillah sebagai menzahirkan kesyukuran kerana masih kekal sebagai kerajaan.
Terdahulu, gerakan yang dinamakan Langkah Dubai hangat diperkatakan ekoran pendedahan yang dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop yang mendakwa terdapat rancangan sulit untuk memujuk Ahli Parlimen meninggalkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar. – WILAYAHKU