Artikel

Langkah Dubai dan musuh

AGONG berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Negara pada Selasa.
- Diterbit 12 Januari 2024 12:30 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

PADA 15 Julai 2016, Tayyib Erdogan telah berjaya menumpaskan satu percubaan merampas kuasa yang didalangi oleh sekumpulan pemimpin tentera Turki.

Sekurang-kurangnya 265 orang terbunuh dalam misi rampasan kuasa ini. Erdogan, ketika itu adalah Perdana Menteri Turki, hampir terbunuh ekoran percubaan rampasan kuasa itu.

Ekoran percubaan itu, Erdogan telah bertindak tegas dan keras kepada musuh-musuh politik yang cuba menggulingkan beliau, yang dipilih majoriti rakyat Turki. Ramai yang dipenjarakan bahkan ramai pihak-pihak yang terlibat di dalam komplot ini dikenakan pelbagai tindakan termasuk mereka yang cuba lari ke luar negara.

Bagi Erdogan, usaha beliau untuk mengeluarkan negara dari gelaran ‘The sick of Europe’ atau ‘Negara sakit di Eropah’ bukan mudah. Ia perlukan masa dan beliau tidak mahu, usaha beliau sejak sekian lama selepas mengambil alih pentadbiran Turki hanyut ke selat Bosporus begitu sahaja.

Ciri utama negara yang boleh maju bagi Erdogan adalah kestabilan khasnya politik. Bila politik kita stabil, pemimpin boleh memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membina negara.

Inilah yang dihadapi oleh Malaysia sekarang. Selepas mengalami pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali dalam penggal sebelum ini, ekonomi negara sukar hendak dipulihkan kembali.

Para pemimpin negara ketika itu lebih memikirkan bagaimana untuk mengekalkan kuasa. Jika mereka merasa kedudukan mereka tercabar, maka itulah yang diberikan tumpuan oleh mereka, kekalkan kuasa.

Kalau difikirkan kuasa mereka boleh tergugat dengan persidangan Parlimen, maka carilah jalan untuk memastikan Parlimen tidak perlu bersidang. Jalannya adalah daruratkan negara. Itulah yang dilakukan oleh pemimpin sebelum ini sehingga pelabur tidak yakin untuk masuk.

Kini, suasana yang dialami oleh Erdogan di Turki sebelum ini juga dihadapi oleh sahabat baik beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pihak-pihak yang terasa tergugat dengan siasatan pihak berkuasa cuba untuk menggugat beliau dengan apa yang dikenali sebagai Langkah Dubai.

Dalam kenyataannya lewat petang Selasa (9 Januari lepas) PM Anwar secara sinis mencadangkan pihak-pihak yang ada duit lebih, bolehlah dermakan duit itu kepada para asnaf sebagaimana yang disarankan oleh Islam.

Menurut PM, dalam pertemuan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya beliau selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Madani untuk meneruskan kerja mengurus negara.

Baginda juga bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.

“Saya juga menambah seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara,” kata Anwar dalam kenyataan itu.

Ini berikutan dakwaan bahawa seorang bekas pemimpin negara memperuntukkan RM750 juta untuk menggulingkan kerajaan Madani pimpinan Anwar ini melalui pintu belakang.

Mereka berusaha memujuk dan mengumpan pihak-pihak tertentu agar menyokong mereka untuk menggulingkan kerajaan yang ada.

Yang menariknya juga, apa yang didengar oleh rakyat sekarang adalah kenyataan demi kenyataan dari laskar siber yang mengatakan Kerajaan Madani ini akan jatuh dan kerajaan akan jatuh.

Ia tidak disertakan dengan sebarang bukti bahkan kenyataan mereka sendiri juga bercanggah antara satu kenyataan dengan satu kenyataan yang lain. Bahkan ia dinafikan pula oleh pihak yang sepatutnya terlibat secara langsung dengan perkara itu.

Bagi kita, golongan sebegini adalah musuh utama kepada negara. Ketika pemimpin negara sedang berusaha untuk menstabilkan negara agar kita boleh memberikan tumpuan untuk memajukan ekonomi negara dan rakyat, dia pula yang menghasut agar percaya bahawa negara ini tidak stabil.

Kalau rakyat negara ini boleh percaya dengan cakap-cakap mereka yang disebarkan menerusi media sosial ini, apatah lagi mereka yang mendengarnya dari luar negara termasuk para pelabur.

Jika pelabur tiba-tiba menarik balik cadangan pelaburan mereka selepas mendengar berita palsu yang negatif ini, maka usaha sekian lama yang dibuat oleh PM Anwar dan pasukannya sia-sia sahaja.

Saya setuju dengan pandangan Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bahawa mereka ini musuh negara dan tindakan tegas perlu dikenakan ke atas orang-orang yang menggugat dan mengucar kacirkan ketenteraman dan kestabilan negara ini.

Kita faham, Erdogan bertindak keras berdasarkan suasana negara bangsa mereka yang setiasa berada di depan dalam isu keselamatan, tetapi kita juga tidak boleh membiarkan pihak yang menggugat kestabilan negara ini walaupun suasana kita tidaklah seganas Turki.

Perang bermakna memancung atau dipancung, menembak atau ditembak. Jadi bertindaklah sewajarnya.

Penulis adalah penganalisis politik. Ini adalah pandangan peribadi beliau.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas