Berita

Langgar lampu isyarat merah: 95,298 saman direkodkan

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 17 Disember 2024 2:45 PM MYT

SEJUMLAH 95,298 saman berkaitan kesalahan melanggar lampu isyarat merah telah direkodkan di seluruh negara sepanjang Januari sehingga November tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ia melibatkan pemandu kereta dengan 44,889 saman diikuti penunggang motosikal (39,468 saman), lori (3,937 saman) dan lain-lain kenderaan (7,004 saman).

Menurut beliau, kesalahan itu menyumbang kepada peningkatan risiko kemalangan jalan raya terutama di kawasan persimpangan utama.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mereka yang melanggar peraturan ini.

“Pemantauan dan penguatkuasaan lebih ketat akan dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, kamera pengawasan, sama ada kamera litar tertutup (CCTV) atau sistem kamera lampu merah di persimpangan utama akan ditingkatkan bagi memastikan pelanggaran undang-undang dapat dikesan dan ditangkap dengan segera.

Katanya, JSPT akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan kesalahan lampu isyarat mereka diambil tindakan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Penalti kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas iaitu disabitkan dengan denda tidak kurang RM300 atau tidak melebih RM2,000.

Bersempena Malaysia yang telah dipilih sebagai tuan rumah Kepengerusian ASEAN 2025, beliau menegaskan kepada masyarakat dan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mempamerkan sikap lebih bertanggungjawab. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas