Berita

Lancar buku Pesona Kebaya… Farel, Jonathan tiada niat eksploitasi Kak KM

- Diterbit 9 Jun 2024 12:21 PM MYT

PENULIS buku, Jonathan dan Farel Mikhail menafikan niat mereka mahu menggunakan  nama atau mengeksploitasi populariti usahawan terkenal Kak KM demi melariskan buku Pesona Kebaya tulisan mereka.

Menurut Jonathan, kehadiran selebriti sensasi itu ke majlis pelancaran buku tersebut adalah sebagai tetamu jemputan dan atas dasar persahabatan yang telah lama terjalin.

“Terkejut juga apabila ada yang menuduh kami sengaja menjemput Kak KM kerana mahu menggunakan kisah sensasinya  bagi melariskan buku Pesona Kebaya.

“Ada yang cakap, seolah-olah kami mahu menumpang popularitinya dan mempunyai niat tertentu.

“Sejujurnya kami tiada niat nak menggunakan nama Kak KM atau selebriti-selebriti lain yang hadir.  Kami sudah anggap mereka seperti kakak dan tiada langsung niat mahu mempergunakan mereka untuk menjual buku ini.

“Kami menjemput  Kak KM atas dasar persahabatan memandangkan pernah bekerjasama dengan beliau sebelum ini. Lagi pun, inilah masanya untuk berkongsi hari bermakna kami  setelah lama impian mahu muncul dengan Pesona Kebaya akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

FAREL (kiri) dan Jonathan (Kanan) tiada niat mahu mengeksploitasi Kak KM (dua dari kanan) demi melariskan buku Pesona Kebaya.

Jonathan berkata demikian ketika majlis pelancaran buku Pesona Kebaya terbitan FM Group di Pavilion Damansara Heights, hari ini.

Lebih istimewa, Kak KM turut menggayakan baju kebaya rekaan Jonathan dan Farel Mikhail.

Sementara itu, Jonathan juga meluahkan rasa syukurnya apabila pengusaha jamu itu sudi menyatakan persetujuan untuk hadir ke majlis pelancaran buku tersebut.

“Apabila saya buka saja mulut menjemput ke majlis ini, Kak KM terus menyatakan persetujuan kerana menyokong usaha kami untuk memartabatkan baju kebaya.

“Iyalah, mungkin tidak ramai orang muda seperti kami yang mahu memartabatkan baju kebaya yang menjadi warisan budaya Malaysia.

“Bagi kami, anak-anak muda memainkan peranan penting dalam meneruskan budaya turun temurun nenek moyang kita.

“Saya harap buku Pesona Kebaya ini mendapat sambutan ramai kerana ia berkenaan budaya kita. Siapa lagi mahu berbangga dengan budaya kita kalau bukan kita sendiri,” ujarnya.

Selain itu, selebriti lain yang turut hadir memeriahkan majlis pelancaran buku Pesona Kebaya ini ialah adik kepada penyanyi nombor satu negara, iaitu Siti Saerah, Puan Seri Syazara Aisha, Datuk Rozzana Rahmat dan Hanim Fariza.

Bukan itu sahaja, FM Group juga ‘menghidangkan’ persembahan istimewa dari warga emas (U3A Petaling Jaya) sebagai salah satu sumbangan mereka kepada masyarakat. – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas