Berita

Lanai perkasa ruang awam

MAIMUNAH hadir merasmikan pembukaan Dataran Lanai Seni.
- Diterbit 19 April 2025 10:00 AM MYT
DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Dataran Lanai Seni yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa ruang awam berkonsepkan bandar lestari di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, dataran tersebut dibangunkan sebagai ruang santai awam yang mesra pengguna, selain menjadi platform terbuka bagi aktiviti seni dan kebudayaan masyarakat.

“Dataran Lanai Seni dibina dengan konsep Urban Oasis yang menampilkan elemen kehijauan, elemen air dan pencahayaan dinamik bertemakan play of light.

“Ia bukan sahaja memperindah kawasan sekitar, malah berfungsi sebagai pentas komuniti melalui pembinaan amphitheatre terbuka,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian di sini, pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin dan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek), Mohamad Hamim.

Dataran ini terletak dalam kawasan Presint Andalan 10 Warisan KL, yang dikenali sebagai pusat fesyen dan tekstil Kuala Lumpur.

Ia turut dihubungkan dengan koridor hijau Green Connector, yang menghubungkan laluan dari Jalan Palestin hingga ke bangunan Jakel, bagi memudahkan pergerakan pejalan kaki dan komuniti setempat.

LANAI Seni merupakan ruang awam ikonik di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Tambah Maimunah antara elemen inovatif yang diketengahkan dalam projek ini ialah struktur Solar Tree yang dilengkapi enam panel solar fotovoltaik (PV), mampu menjana sehingga 2,400 watt tenaga elektrik.

“Ia dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 1,752 kilogram karbon dioksida (CO2) setiap tahun, bersamaan penanaman kira-kira 83 pokok matang setahun.

“Pembangunan ini menyumbang kepada sasaran jangka panjang bandar raya melalui pelaksanaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030, dan Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050,” katanya.

Inisiatif ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan) serta SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), bagi menjadikan Kuala Lumpur lebih mesra alam dan berdaya tahan.

Beliau turut menyeru orang ramai agar sama-sama memelihara dan menghargai dataran tersebut sebagai ruang komuniti yang penting untuk kesejahteraan bandar.

Dengan pelbagai ciri mesra pengguna dan pendekatan berasaskan kelestarian, Dataran Lanai Seni dijangka menjadi salah satu lokasi tumpuan baharu dan ikon landskap bandar yang menyumbang kepada pembangunan Kuala Lumpur sebagai bandar raya mampan dan berdaya huni. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas