Artikel

Lambang penyatuan rakyat Malaysia

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia memadam kebakaran susulan kejadian letupan paip gas di Putra Heights.
- Diterbit 11 April 2025 5:59 PM MYT
Oleh ZULKIFLI SULONG

NEGARA dikejutkan dengan letupan paip gas di Putra Height, Selangor. Ini kerana ia jarang berlaku dan melibatkan kemusnahan besar namun alhamdulillah tiada kemalangan jiwa berlaku.

Pada hari kejadian pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan 112 mangsa dan 49 rumah terjejas dan banyak kenderaan yang musnah.

Selain kerajaan, pelbagai pihak tampil ke depan membantu mangsa.

Selepas kerajaan mengumumkan bantuan awal RM5,000 setiap keluaga yang terjejas, pelbagai pihak tampil memberikan sumbangan.

Yang paling ketara adalah peranan rumah ibadat termasuk masjid dan juga kuil Hindu berhampiran.

Kedua-dua institusi agama ini membuka pintu mereka seluas-luasnya menerima mangsa untuk berlindung sementara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin antara pemimpin politik yang terlibat secara langsung membantu mangsa tragedi ini.

Ini termasuk Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Anfaal Saari serta ADUN Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sudah tentu yang paling sibuk menguruskan tragedi ini.

Alhamdulillah hampir kesemua mereka menjalankan tugas dengan baik membantu meringankan bebanan mangsa. Ini adalah lambang penyatuan rakyat Malaysia. Selain mereka, ada senarai panjang tentang pihak yang memberikan sumbangan segera kepada mangsa sebagaimana senarai yang dicatatkan oleh Mohd Fuad Anwar (senarai bantuan yang diberikan).

Yang belum termasuk dalam senarai Mohd Fuad adalah bantuan 55 buah motosikal yang diusahakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Seramai 55 mangsa itu menerima motosikal secara ‘one-off’ daripada syarikat Spanco. Penerima yang kebanyakannya dari Kampung Kuala Sungai Baru mendapat ‘pemilikan penuh’ motosikal itu tanpa perlu membayar kos insurans untuk tahun pertama, nombor pendaftaran dan cukai jalan.

“Memang tak dapat cari motosikal untuk disewakan, maka kami terus dapatkan penajaan.

“Mereka tak perlu bayar apa-apa,” katanya selepas majlis penyerahan motosikal kepada mangsa letupan paip gas di Stesen LRT Putra Heights.

Untuk panduan kita, saya siarkan kembali laporan Bernama kronologi penuh apa yang berlaku pada 1 April 2025 itu.

8.23 pagi

JBPM Selangor mengesahkan berlaku kejadian kebakaran saluran paip gas di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor. Panggilan kecemasan diterima pada 8.23 pagi.

9.30 pagi

Operasi padam kebakaran terus dilakukan, api masih menjulang tinggi, video kemusnahan di kawasan sekitar, kebakaran rumah mula membanjiri laman sosial. Penduduk di perumahan berhampiran lokasi kebakaran dipindahkan.

10.35 pagi

25 mangsa terima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan, lima daripadanya dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

10.57 pagi

Mangsa lain yang diselamatkan ditempatkan di kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya, berhampiran lokasi kejadian.

11 pagi

Beberapa lagi mangsa menerima rawatan awal serta dihantar ke Hospital Serdang, Putrajaya dan Cyberjaya.

11.06 pagi

Menteri Besar Selangor umum satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Masjid Putra Heights.

11.14 pagi

Tenaga Nasional Berhad (TNB) maklumkan bekalan elektrik di kawasan sekitar Subang dan Putra Heights terjejas.

11.20 pagi

Laporan awal bomba sahkan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter.

11.25 pagi

Petronas Gas Bhd sahkan kebakaran berlaku di saluran paip utamanya berhampiran Putra Heights.
Petronas Dagangan Bhd (PDB) mengesahkan kejadian kebakaran tidak berlaku di mana-mana stesen minyak Petronas.

11.30 pagi

Gangguan bekalan elektrik di sekitar kawasan Subang Jaya pulih sepenuhnya.

11.54 pagi

Jabatan Alam Sekitar lakukan pemantauan kualiti udara di kawasan sekitar kejadian.

12.19 tengah hari

Masjid Al-Falah USJ 9 di Subang Jaya dibuka kepada mangsa terjejas untuk berlindung.

1 petang

78 anggota bomba dengan 22 aset, termasuk 10 jentera Fire Rescue Tender (FRT), empat unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS), lima unit Water Tanker dan masing-masing satu unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), unit BA Tanker dan unit ALP berada di lokasi kejadian. Seramai 82 mangsa diselamatkan.

1.05 petang

Laluan antara Seafield dan Bandar Saujana Putra di Lebuh Raya Elite ditutup kepada semua kenderaan.

1.25 petang

63 mangsa yang cedera akibat melecur dibawa ke Hospital Cyberjaya, Putrajaya dan Serdang. Empat injap utama di Dengkil, Puchong, Batu Tiga dan Meru dilaporkan ditutup bermula 11.48 pagi bagi melepaskan saki baki gas asli.

1.30 petang

Bomba sahkan 112 mangsa dan 49 rumah terjejas.

1.55 petang

Kebakaran semakin reda. Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata radius kebakaran juga berkurangan.

SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas