Berita

Lambakan kereta usang menyusahkan

- Diterbit 16 Ogos 2024 9:30 AM MYT

ISU lambakan kenderaan lusuh dan terbiar di kawasan sekitar bandar raya Kuala Lumpur terutamanya kawasan perumahan sudah lama membelenggu bukan sahaja pihak berkuasa tempatan (PBT) malah orang ramai termasuk penduduk setempat.

Difahamkan juga terdapat sebilangan usia kenderaan usang itu lebih ‘tua’ berbanding penghuni sesebuah kawasan perumahan.

Segelintir pemilik kenderaan dilihat membiarkan kenderaan lama mereka terbiar di lokasi awam seperti di petak parkir kawasan perumahan, bawah jambatan dan di tepi jalan.

Keadaan itu bukan sahaja memburukkan pemandangan tetapi juga menimbulkan masalah lain seperti kekurangan petak parkir, halangan lalu lintas malah menjadi tempat pembiakan makhluk perosak.

Malah jika diperhatikan kebanyakan kereta usang ini telah dicuri aksesori sekali gus membuatkan orang ramai ‘terseksa’ serta ‘sakit mata’ melihat kenderaan usang dibiar begitu sahaja.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku badan penguat kuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempergiatkan usaha menunda kenderaan buruk yang dibiarkan tersadai terutamanya di lokasi-lokasi awam.

Reaksi balas seorang penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR), Khaleeda Basharuddin berkata kenderaan terbiar tersebut kebiasannya diletakkan di taman perumahan serta di bahu-bahu jalan serta menganggu lalu lintas malah turut memberi kesan kepada alam sekitar.

“Kalau dilihat kebanyakan kenderaan usang ini banyak yang memakan ruang dan juga mengambil ruang-ruang parkir yang disediakan.

“Ia boleh menyumbang kepada kesesakan jalan dan mengganggu penghuni setempat, malah lagi membimbangkan sesetengah kenderaan itu juga menjadi sarang untuk pembiakan nyamuk,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Khaleeda turut menyatakan penghargaan kepada pasukan DBKL yang sering bekerjasama dengan penduduk setempat untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Kita boleh lihat DBKL memandang serius berkenaan isu ini dan memudahkan urusan kami dalam membantu menunda kenderaan-kenderaan usang ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pekerja di syarikat swasta di ibu kota, Muhammad Arif Yusry berpendapat mentaliti orang ramai khususnya pemilik-pemilik kenderaan usang perlu diubah.

“Tahap kesedaran masyarakat masih kurang apabila ada yang ingin menyimpan kenderaan usang ini dengan pelbagai alasan termasuk kononnya ia mempunyai nilai sentimental.

“Kalau kita hendak melihat bandar raya Kuala Lumpur terus membangun dan maju, mentaliti seperti ini perlu dibuang.

“Kita perlu bekerjasama dalam memerangi kenderaan-kenderaan usang atau terbiar yang bukan sahaja mengganggu penglihatan, lalu lintas malah alam sekitar juga,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas