Berita

Laman Wilayah Persekutuan di MAHA 2024

- Diterbit 12 September 2024 7:10 PM MYT

BERSEMPENA meraikan 100 tahun Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, Wilayah Persekutuan buat julung kalinya mengambil bahagian dengan mewujudkan Pavillion Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata Pavillion Wilayah Persekutuan dengan gabungan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, buat pertama kalinya membuka pintu kepada para pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik ditawarkan.

“Laman Wilayah Persekutuan menjadi komponen utama bagi Pavillion Wilayah Persekutuan di mana strukturnya dibina dengan menerapkan teknologi binaan terkini dan dilengkapi lampu LED.

“Selain itu, para pengunjung juga dapat menambah pengetahuan mengenai Urban Farming di Kebun Komuniti Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL),” ujar beliau.

Beliau berkata demikian setelah merasmikan Laman Wilayah Persekutuan di MAHA 2024 bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Zaliha berkata Pavillion Wilayah Persekutuan turut mengetengahkan elemen bandar dalam taman dengan membawa 16 usahawan PUJI Wilayah Persekutuan di Bazar Jualan.

“Kita juga mempunyai segmen Wilayah Persekutuanku Berkongsi RASA yang menghidangkan pelbagai signature food yang menjadi kegemaran orang ramai termasuk makanan-makanan viral di Wilayah Persekutuan sebagai daya tarikan utama,” katanya.

Terdahulu, penganjuran MAHA 2024 akan berlangsung selama 12 hari bermula 11 hingga 22 September pada pukul 10 pagi hingga 10 malam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas