Berita

Laman Selera Madani Tanglin dinaik taraf, peniaga lebih selesa

ANWAR sempat berswafoto bersama pelanggan yang datang menjamu selera di Laman Selera Madani Tanglin
- Diterbit 16 Ogos 2024 10:20 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah sebentar di Laman Selera Madani Tanglin untuk menjamu selera sebelum menunaikan solat Jumaat minggu lalu.

Beliau yang lengkap berbaju Melayu biru serta bersamping dan bersongkok tiba di medan selera tersebut kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

Kehadiran Anwar disambut oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa juga turut hadir.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menikmati makan tengah hari sambil beramah mesra dengan pelanggan dan peniaga di Medan Selera Tanglin.

Selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit, Anwar bergerak ke Masjid Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak kira-kira 5.2 kilometer dari Medan Selera Tanglin untuk menunaikan solat Jumaat.

Dalam sesi lawatan tersebut Anwar turut meninjau kerja-kerja naik taraf yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bawah inisiatif Lestari Niaga @ Kuala Lumpur.

Lestari Niaga @ Kuala Lumpur merupakan inisiatif kerajaan MADANI untuk menaik taraf dan mengindahkan fasiliti gerai-gerai peniaga kecil dan penjaja sedia ada di Wilayah Persekutuan menjadi lebih kondusif dan selesa.

Dalam perkembangan lain, pemilik Pak Din Ikan Bakar Tanglin, Rosmah Husin berkata dia yang sudah berniaga kira-kira 40 tahun bersyukur dengan segala kemudahan yang diberikan kerajaan.

“Alhamdulillah, kerajaan amat prihatin terhadap para peniaga apabila pelbagai inisiatif yang dilaksanakan demi memberi kemudahan bukan sahaja buat kami para peniaga tetapi juga pelanggan yang hadir.

“Selepas ini, dapat tempat yang lebih selesa, tempat duduk yang selesa, tempat parkir kereta yang lapang, tandas serta surau juga turut disediakan,” katanya kepada Wilayahku.

Seorang pelanggan yang menjamu selera, Muhammad Amri Alias berkata dia amat berpuas hati dengan harga makanan yang disediakan para peniaga selain sangat menyelerakan.

“Harga di Laman Selera Madani Tanglin amat berpatutan, ditambah pula pelbagai aneka juadah masakan yang lazat.

“Makanan kegemaran saya tiap kali singgah menjamu selera di sini ialah ikan bakar,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas