Berita

Laksana tindakan penguatkuasaan, tiada kompromi terhadap warga asing

TINDAKAN operasi sentiasa diambil oleh DBKL bersama agensi penguatkuasaan lain. - Gambar hiasan
- Diterbit 5 Januari 2024 10:00 AM MYT

PENGERUSI Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah menyeru pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meningkatkan operasi dan penguatkuasaan terhadap premis-premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur bagi membanteras pengambilan pekerja dalam kalangan warga asing.

Beliau berkata kegiatan segelintir pemilik peniaga tempatan yang menyewakan tapak niaga sekali gus menggajikan warga asing tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan yang melanggari undang-undang dan wajar dihentikan.

“Isu ini sudah lama dibangkitkan dan hampir setiap hari media melaporkan tindakan operasi, serbuan dan pemantauan diambil oleh DBKL bersama agensi penguatkuasaan yang lain. Walau bagaimanapun, isu ini dilihat tiada tanda noktah apabila peniaga tempatan sendiri yang memberi ruang dan peluang kepada golongan tersebut untuk menjalankan perniagaan.

“Hal ini sekali gus membuatkan mereka menjadi berani dan agresif sehingga berupaya membuat lokasi tapak niaga seperti di pasar borong dan kedai runcit seakan miliknya sendiri.

“Kalau dia bekerja mesti ada permit yang sah tapi kalau sebaliknya, majikan harus berfikir panjang terlebih dahulu. Pihak berkuasa juga wajar memberikan amaran kepada pemilik perniagaan, jika tidak dihiraukan, maka laksana penggantungan atau sitaan terhadap lesen mereka,” katanya.

Selaku pengerusi persatuan, beliau juga sering menerima aduan daripada peniaga tempatan di mana hampir 60 peratus daripadanya mengeluh akibat sikap segelintir pemilik yang masih meneruskan kegiatan tersebut.

“Di peringkat persatuan, kita sering menerima aduan daripada peniaga dan melalui program bancian sebelum ini, saya juga sudah berkali-kali mengingatkan kepada para peniaga untuk tidak menyewakan tapak dan menggajikan pekerja warga asing terutama yang tidak mempunyai permit yang sah.

“Saya faham akan keadaan dialami peniaga yang kekurangan tenaga kerja atau pembantu dan rata-rata pekerja yang masih bertahan juga adalah dalam kalangan warga asing namun sekiranya ia ingin diteruskan, pemilik perniagaan harus mengikut prosedur sebenar,” jelasnya tiada kompromi terhadap perbuatan tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau turut memuji tindakan pasukan penguatkuasaan DBKL dan lain-lain pihak dalam melaksanakan tindakan terhadap premis-premis perniagaan terutama di lokasi hot spot di sekitar ibu kota.

“Tindakan seperti ini perlu diteruskan. Meskipun amaran telah diberikan namun gejala seperti ini masih berleluasa. Kalau boleh biarkan sahaja pihak penguat kuasa memantau di lokasi tersebut, baru mereka takut.

“Apa jua alasan tidak boleh digunakan. Kalau hendak menyewakan atau menggajikan mestilah kepada orang yang tepat. Kalau ruang sedia ada diberikan kepada pihak luar, apa jadi pada rakyat kita,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas