Berita

Laksana segera pelan tindakan industri umrah, elak jemaah ditipu

TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akhbar Khan.
- Diterbit 25 Julai 2023 8:00 AM MYT

TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akhbar Khan berharap pelan tindakan berkaitan industri umrah dapat disiapkan segera bagi mengelakkan masalah penipuan terhadap para jemaah berterusan.

Beliau berkata melalui pelaksanaan blueprint yang akan diwujudkan dalam masa terdekat, ianya dapat membantu mengelakkan para jemaah khususnya di Rantau Asia terus diperdaya dan dibohogi agensi-agensi umrah.

“Pada mesyuarat Majlis Kawalan Selia Umrah baru-baru ini, kita telah membincangkan bagaimana hendak memperkesakan lagi industri umrah.

“Blueprint memang berkait rapat dengan perancangan kita untuk mewujudkan dan memperkenalkan Malaysia sebagai hub umrah di Rantau Asia termasuklah negara China, Korea, Jepun, Australia dan New Zealand.

“Sejajar perkara itu, kita juga mahu lihat bakal jemaah tidak memandang Malaysia sebagai pusat transit umrah sahaja tetapi menjadikan negara ini sebagai pusat pelancongan terlebih dahulu dengan aspek pelancongan Islam. Inilah niat sebenar kita nak wujudlan hub umrah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Promosi ‘Merdeka Madness 66% For All‘ di Megaview Banquet Hall, Menara Kuala Lumpur, hari ini.

KHAIRUL Firdaus (tengah) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Promosi ‘Merdeka Madness 66% For All’ di Menara Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Khairul Firdaus, pelaksanaan ini adalah salah satu pembaharuan yang ingin dilakukan supaya MOTAC dapat bantu penggiat industri umrah untuk kembali aktif di samping dapat meningkatkan industri pelancongan negara.

“Pelaksanaan blueprint ini akan dibentangkan kepada Kabinet oleh Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing yang mana beliau sendiri juga bersetuju untuk membangunkan perkara berkenaan.

“Kalau boleh kita nak lakukan secepat mungkin dan saya percaya MOTAC serta kementerian sedang mempercepatkan blueprint supaya kita mahu melihat agenda ini dapat dilaksanakan secepat mungkin,”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas