KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 ditutup serta-merta.
Menurut KPM, sekiranya bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah dikehendaki menghentikan segala aktiviti di luar bilik darjah yang membabitkan semua murid termasuk aktiviti keramaian atau sukan luar bangunan juga disaran supaya ditangguhkan.
“Pembukaan semula sekolah adalah bergantung pada bacaan IPU bawah daripada 200. Jika trend bacaan menunjukkan pengurangan bawah daripada 200 tindakan boleh diambil sebagai persediaan pembukaan semula sekolah.
“Pengetua atau Guru Besar perlu memastikan setiap guru membuat tugasan sewajarnya di sekolah semasa ia ditutup jika guru berkenaan tidak diberi cuti selaras dengan peruntukan dalam Surat Siaran Bil 8/2016: Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016,” jelas KPM dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, KPM berkata guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah jika bacaan IPU melebihi 500.
Dalam pada itu, KPM turut menasihatkan murid-murid untuk memakai pelitup muka serta kerap minum air dan pihak sekolah hendaklah merujuk mereka yang didapati tidak sihat kepada ibu, bapa atau penjaga dengan segera.
“Ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah jika bimbang mengenai tahap kesihatan namun tindakan itu perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah.
“Pihak sekolah juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai fenomena jerebu di kawasan atau daerah masing-masing bagi memudahkan urusan tindakan susulan.
“Bacaan IPU dan keadaan terkini status udara boleh dilihat menerusi laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu https://apims.doe.gov.my/home.html,” jelasnya.
Tambahnya, semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam perlu diteruskan.
Terdahulu, sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hanya akan dilaksanakan apabila sekolah ditutup dan bacaan IPU melebihi 200. – WILAYAHKU