Berita

Lahir tenaga kerja berkemahiran tinggi

- Diterbit 12 Julai 2024 3:20 PM MYT

SERAMAI 780 peserta daripada 39 bidang kemahiran mengambil bahagian dalam Pertandingan Kemahiran Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCCSKILLS) 2024 yang dianjurkan baru-baru ini.

Politeknik Ungku Omar dalam kenyataannya berkata program tersebut telah berjaya melahirkan pelajar terbaik dalam pelbagai aspek kemahiran melalui 39 bidang kemahiran vokasional dan teknikal yang dipertandingkan.

“POLYCCSKILLS merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk mentransformasikan negara menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

“Pertandingan yang berlangsung dari 1 hingga 4 Julai 2024 itu merangkumi aspek latihan, perkongsian ilmu serta pengujian kemahiran diri pelajar. Ia juga menjadi medan pengiktirafan kepada pelajar yang memperlihatkan kompetensi dan kemahiran yang tinggi hasil daripada tugasan diberikan,” katanya.

Tambahnya, POLYCCSKILLS 2024 bukan sahaja menjadi platform untuk mengasah kemahiran teknikal pelajar tetapi juga menggalakkan semangat persaingan sihat dan kerjasama antara institusi.

“Pelajar yang memenangi pertandingan ini akan berpeluang untuk bertanding ke peringkat lebih tinggi seperti World Skills Malaysia Belia (WSMB) dan World Skills Competition (WSC) di masa akan datang sekali gus mengangkat Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) sebagai pemangkin pembangunan Kemahiran TVET yang unggul di Malaysia,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pertandingan ini turut membuktikan standard tinggi Pendidikan dan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disediakan oleh institusi-institusi di bawah JPPKK.

“Sebanyak 105 institusi yang terdiri daripada pelbagai Politeknik dan Kolej Komuniti telah mengambil bahagian dalam POLYCCSKILLS 2024.

“Seramai 780 peserta dari 39 bidang kemahiran telah mempamerkan bakat dan kebolehan masing-masing dalam merebut 120 pingat dan tiga anugerah utama iaitu Anugerah Minda Emas, Jari Emas dan Tangan Emas,” katanya.

Terdahulu, Majlis Perasmian Penutup POLYCCSKILLS 2024 telah diadakan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak dan disempurnakan oleh Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, Mohd Noor Shahudin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas