ARTIS versatil, Shiha Zikir menganggap mesej ibadah korban itu perlu diterapkan dalam diri sepanjang masa dan bukannya hanya pada Hari Raya Aidiladha.
Pelantun lagu AEWO ini melihat ia membawa peluang kepada setiap individu muslim untuk membantu saudara seagama yang dalam kesusahan serta memerlukan.
“Antara hikmah di sebalik ibadah ini adalah menggalakkan umat Islam untuk bersedekah dengan memberi hasil haiwan yang terbaik untuk dikorbankan.
“Amalan memberi ini secara tidak langsung mendidik kita agar sentiasa bertoleransi, menyebarkan kasih sayang dan bantu-membantu antara satu sama lain.
“Kita pun semua tahu, manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Allah cukup suka kepada hamba-Nya yang suka membuatkan orang lain gembira,” katanya.
Menyentuh soal pengorbanan, Shiha berkata setiap orang ada kisahnya dan mempunyai cara tersendiri dalam melakukan pengorbanan.
“Saya yakin kita semua pasti pernah melakukan pengorbanan. Apa jua bentuk pengorbanan itu, jangan disesali kerana Allah akan menggantikan sesuatu yang lebih baik sama ada di dunia atau akhirat.
“Macam saya, apa yang boleh dikongsi, selepas tamat sekolah dulu, saya bekerja buat apa sahaja untuk belajar berdikari dan membantu keluarga.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pengorbanan yang dilakukan tidak sia-sia dan saya sentiasa yakin dengan kuasa-Nya.
“Dalam kita melakukan pengorbanan, ikhlaskan hati agar dapat merasai nikmat pengorbanan. Perasaan itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” ujarnya.
Tambahnya, ibadah korban juga membuang perasaan memiliki ke atas sesuatu kerana atas dunia ini hakikatnya kita tidak miliki apa-apa sebab semuanya milik Allah SWT. – WILAYAHKU