Berita

Lagu Sejarah khusus untuk Siti Nurhaliza… “Satu persatu memori terbayang”

- Diterbit 15 November 2024 8:46 AM MYT

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui teruja melancarkan single terbaharunya berjudul Sejarah ciptaan maestro muzik dari Indonesia, Erwin Gutawa.

Lagu Sejarah mempunyai signifikan tersendiri dalam karier penyanyi nombor satu Malaysia itu yang bakal mencecah usia 30 tahun berkecimpung dalam industri muzik.

Sejarah merupakan gandingan Erwin Gutawa bersama anak perempuannya, Gita Gutawa selaku penulis lirik.

Menurut Erwin, lagu Sejarah diciptakan khusus buat Siti Nurhaliza dengan membayangkan keindahan nyanyian serta personaliti yang ada pada penyanyi tersebut.

Erwin meminta Gita menulis lirik berkisarkan seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup dan memaknakan kesyukuran di dalam setiap bait kata yang diungkapkan.

Bagi Siti, Sejarah merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa apabila beliau kembali dapat berganding bahu dengan Erwin Gutawa dalam sebuah lagu. Beliau sendiri meminta Erwin menghasilkan sebuah lagu khusus yang menceritakan tentang perjalanan seni beliau.

“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya.

“Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,’’ katanya.

Lebih istimewa, Erwin menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra untuk mengiringi susunan muzik yang digarap indah khusus untuk Siti Nurhaliza.

Lagu Sejarah merupakan buah tangan istimewa Siti Nurhaliza sebelum menutup tirai 2024 setelah sibuk mengadakan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini.

Siti juga berterima kasih kepada Aubrey Suwito yang telah membantu proses rakaman vokal lagu ini di Kuala Lumpur.

Lagu Sejarah terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn Bhd ini boleh distrim dan dilanggan di seluruh pelantar digital bermula 14 November 2024. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas