KONSERT Senandung Abadi tribute buat bintang legenda Allahyarham Tan Sri SM Salim dan Datuk Sharifah Aini yang berlangsung di Auditorium Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur pada 19 Oktober lalu mendapat sambutan luar biasa daripada penonton.
Menurut Ketua Orkestra Kuala Lumpur DBKL, Isabella Pek, istimewanya konsert tersebut kerana sumbangan besar dua insan hebat tersebut kepada industri muzik tanah air.
“Lagu-lagu nyanyian mereka malar segar dan merentas zaman malah sentiasa menjadi pilihan untuk dinyanyikan atau dipersembahkan semula. Biasanya orang akan cakap tujuan konsert untuk mengenang masa silam, tetapi bagi saya penting juga kita kaitkan tujuannya dengan hari ini.
“Maksud saya, kita lihat bagaimana lagu-lagu lebih kurang 40 tahun lalu boleh menjadi relevan sehingga ke hari ini. Ini yang patut difikirkan.
“Saya tidak ada jawapannya kerana setiap orang pasti ada pendapat berbeza. Jadi dengan penganjuran konsert ini, bolehlah kita semua fikirkan,” katanya.
Antara artis yang turut menjayakan konsert ini ialah Wany Hasrita, Azizul Haqim, Yasser dan Farhana. – WILAYAHKU