SELEPAS menjuarai program Famili Duo musim keempat bersama kakaknya Ieda, kini Shiha Zikir meneruskan perjuangan dengan single baharu berjudul Lebih Baik, hasil kolaborasi bersama komposer dan penulis lirik, Shazee Ishak dan Audi Mok.
Menerusi Alternate Records, Shiha mempersembahkan lagu bergenre pop balada yang berkisar tentang refleksi diri dalam hubungan percintaan, serta mengungkap kekuatan yang terbit daripada cinta, perpisahan, dan keinginan untuk menjadi versi yang lebih baik.
“Lebih baik ini mengisahkan tentang seseorang yang rindukan insan yang disayanginya, dalam masa yang sama dia berasakan dirinya lebih baik apabila insan tersebut ada di sisinya. Walaupun semua itu hanya mimpi.
“Saya sendiri apabila menyanyikan lagu ini, rasa agak sebak. Saya akan teringatkan arwah abah dan arwah abang ipar. Rasa seperti jalan cerita lagu ini yang berasakan dirinya lebih baik apabila insan yang telah pergi ada di sisi.
“Begitu juga apabila kita rindukan orang yang masih ada tetapi tidak dapat nak jumpa,” katanya.
Shiha juga akui tidak mudah menyanyikan lagu Lebih Baik yang berentak balada.
“Cabaran semasa rekod lagu ini sudah tentu ‘feel’. Kalau bawa lagu balada ni cabaran untuk saya adalah nak hadirkan ‘feel’ itu. Nak dapatkan dinamik dari awal hingga akhir lagu bukannya mudah.
“Saya percaya kisah dalam lagu ini sangat dekat dengan hati pendengar, terutamanya dengan tema self-love yang diangkat. Proses rakaman pula sangat lancar, hanya mengambil masa sekitar dua jam, kerana Shazee banyak membantu.
“Jadi, apabila merakamkan lagu ini, saya perlu memberi penghayatan dan mood yang tepat agar penyampaiannya berkesan bagi menyatukan kesayuan dengan harapan. Sejujurnya, lagu ‘Lebih Baik’ layak diberi peluang kerana melodi dan liriknya sangat sempurna.
“Saya harap semua dapat support saya memandangkan saya banyak bawa lagu rancak sebelum ini,” ujarnya.
Lebih Baik diinspirasikan daripada kenyataan bahawa cinta yang sejati hanya boleh terbentuk apabila kita membaiki diri, Shazee percaya Shiha ialah pilihan yang tepat untuk menyanyikan lagu ini.
“Shiha ialah seorang penyanyi yang berbakat, profesional dan serba boleh. Dia memiliki feel yang bagus dan berjaya menjiwai watak dalam lagu. Shiha adalah antara yang terbaik kerana dia selalu membuat persiapan rapi sebelum masuk ke studio,” jelasnya.
Shazee juga berharap ‘Lebih Baik’ mendapat sokongan daripada orang ramai kerana lagu dendangan Shiha itu sangat luar biasa. Tambahan pula lagu ini menjadi runut bunyi (OST) untuk drama ‘Wanita Milik Kaiden’ di slot Akasia TV3.
Lagu ini juga boleh didengari di iTunes atau strim terus melalui platform seperti Spotify dan YouTube Music. – WILAYAHKU