Berita

Labuan miliki tarikan tersendiri

ZALIHA ketika Program Pembersihan dan Pengindahan Pulau Rusukan Besar sebagai usaha untuk meremajakan semula pulau pelancongan tersebut.
- Diterbit 6 Oktober 2024 4:19 PM MYT

KEDUDUKAN geografi pulau yang strategik, Labuan memiliki potensi sebagai destinasi pelancongan sekali gus menjadi penyumbang kepada kemasukan pelancong di negara ini,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata berdasarkan laporan Tourism Malaysia bagi tempoh separuh pertama tahun ini, negara telah mencatatkan ketibaan pelancong yang signifikan iaitu seramai 11.8 juta orang dan menunjukkan peningkatan  sebanyak 28.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, sektor pelancongan kebudayaan merupakan satu sektor yang berpotensi besar untuk dikembangkan sebagai produk pelancongan di pulau itu termasuklah produk pelancongan yang sedia ada.

“Saya yakin Labuan mampu menjadi pulau tumpuan pelancong serantau, bukan sahaja kerana keindahan alamnya tetapi juga kekayaan seni dan budaya yang diwarisi.

“Dengan penganjuran Borneo Art Festival (BAF) baru-baru ini, kita bukan sahaja dapat mempromosikan budaya tempatan tetapi juga memperkukuhkan Labuan sebagai destinasi utama dalam peta pelancongan dunia.

“Ini adalah peluang yang perlu kita manfaatkan, lebih-lebih lagi dengan Malaysia akan mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita pada sesi lawatan kerja selama dua hari ke Labuan.

Selari dengan hasrat untuk memacu semula sektor pelancongan di pulau itu, Zaliha menjelaskan pihaknya meluncurkan logo rasmi  baharu bagi pelancongan Labuan sebagai persediaan awal untuk menuju kepada Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, logo tersebut mengetengahkan lima elemen utama produk pelancongan di Labuan yang dipakejkan di bawah konsep 5S iaitu Sun, Sand, Seafood, Sport Tourism dan Shopping.

“Setiap elemen ini melambangkan kekuatan dan keistimewaan Labuan sebagai sebuah pulau pelancongan yang dapat menawarkan pengalaman unik dan menarik kepada pengunjung.

“Saya berharap agar Perbadanan Labuan dan semua agensi-agensi kerajaan di Labuan mempergiatkan lagi usaha untuk mempromosikan produk pelancongan ini secara lebih meluas, bukan sahaja di peringkat domestik, bahkan juga di peringkat antarabangsa.

“Insya-Allah, hasrat untuk menjadikan Labuan sebagai hab pelancongan ini akan menjadi kenyataan dan memberi limpahan manfaat yang besar kepada rakyat Labuan, terutama dari segi peningkatan sosioekonomi rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sebagai usaha untuk menjayakan sektor pelancongan agar lebih vibrant, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjsama lebih 100 sukarelawan telah menjayakan Program Pembersihan dan Pengindahan Pulau Rusukan Besar sebagai usaha untuk meremajakan semula pulau pelancongan itu.

Katanya, hasil daripada pelaksanaan program tersebut, Pulau Rusukan Besar dapat diremajakan semula dengan keindahan suasana yang bersih dan lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti rumah pokok, buaian pantai, kafe dan tandas baharu.

“Pembinaan jeti baharu juga akan mula dibina pada bulan Oktober ini untuk menggantikan jeti lama yang telah reput dan usang. Pelbagai kemudahan yang telah tersedia ini membuka peluang yang seluas-luasnya untuk dinikmati oleh para pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Pulau Rusukan Besar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas