LABUAN memiliki potensi besar menjadi pusat ekonomi serantau khususnya dalam pembangunan ekonomi, terutamanya sebagai hab kewangan antarabangsa, pusat perdagangan dan destinasi pelancongan yang strategik.
Usaha strategik seperti peningkatan infrastruktur, pemerkasaan modal insan dan pelaksanaan dasar yang mesra pelabur adalah faktor utama yang perlu diberi perhatian untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Dr Jaludin Janteng, kedudukannya yang unik sebagai Wilayah Persekutuan dengan status pelabuhan bebas cukai menjadikannya sebagai tarikan utama untuk pelabur asing.
Katanya sektor kewangan dan perkhidmatan terus berkembang dengan menawarkan insentif cukai yang menarik, terutama dalam bidang perbankan, insurans dan pengurusan kekayaan.
“Labuan berpotensi menjadi pusat utama bagi inovasi kewangan, termasuk fintech dan kewangan Islam, yang semakin mendapat perhatian global.
“Selain itu industri minyak dan gas masih menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi Labuan.
“Namun terdapat keperluan untuk mempelbagaikan sektor ekonomi, termasuk meneroka industri hijau seperti tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan lestari,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Tambahnya pelaburan dalam tenaga solar dan ekopelancongan boleh membuka peluang baru bagi pembangunan mampan dan menarik pelancong yang mencari pengalaman unik.
Beliau berkata dari aspek perdagangan dan logistik, Labuan memiliki potensi besar dengan meningkatkan daya saingnya dengan menambah baik infrastruktur pelabuhan serta sistem pengangkutan sedia ada.
“Adalah dicadangkan agar kerajaan mempertimbangkan semula projek Jambatan Labuan-Menumbuk sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Pembangunan jambatan ini akan meningkatkan hubungan Labuan dengan Sabah, mengurangkan kos logistik dan mempercepatkan pertumbuhan sektor perniagaan serta pelancongan,” katanya.
Jaludin menegaskan secara keseluruhannya, Labuan mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai sebuah pusat ekonomi serantau. – WILAYAHKU