Berita

Labuan miliki potensi besar sebagai pusat pembangunan tenaga boleh diperbaharui

GEOGRAFI Labuan yang dikelilingi pantai dan lautan menjadi kelebihan untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui.
- Diterbit 30 Ogos 2024 3:30 PM MYT

LABUAN kaya dengan pelbagai sumber alam semula jadi selain menjadi hub sektor industri minyak dan gas sekali gus pulau itu dilihat memiliki potensi besar sebagai pusat pembangunan tenaga yang diperbaharui.

Menurut Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia, Kampus Antarabangsa Labuan, Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, industri tenaga mampan menawarkan pelbagai peluang ekonomi yang merangkumi pelbagai sektor, masing-masing menyumbang kepada ekonomi yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Katanya, menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang diperkenalkan oleh Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli pada 27 Julai 2023 lalu menggariskan hala tuju strategik bagi sektor tenaga negara yang menekankan peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga yang dipertingkatkan.

“Untuk di Labuan, dengan geografi yang dikelilingi pantai dan lautan menjadi satu kelebihan untuk menghasilkan satu tenaga yang boleh diperbaharui menerusi kuasa angin adalah penukaran tenaga angin kepada bentuk tenaga yang berguna seperti turbin angin bagi menghasilkan elektrik, kincir angin bagi kuasa mekanikal.

“Pelan hala tuju ini menekankan pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui tempatan termasuk inisiatif solar dan angin berasaskan komuniti. Projek-projek ini bertujuan untuk meningkatkan elektrifikasi luar bandar, menyediakan akses tenaga yang boleh dipercayai kepada komuniti terpencil.

“Selain itu, mempromosikan pelancongan mesra alam yang dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui boleh meningkatkan daya tarikan wilayah sebagai destinasi pelancongan yang mampan.

“Pelan hala tuju ini amat relevan dengan Borneo merangkumi negeri Sabah, Sarawak dan Labuan bersedia untuk mendapat manfaat yang ketara daripada perkembangan ini.

“Di Labuan penjanaan kuasa yang boleh diperbaharui menerusi tenaga suria, pemasangan panel solar dan pembangunan ladang solar, memanfaatkan keadaan geografi yang menggalakkan di kawasan pulau ini.

“Labuan kini sudah terdapat ladang solar yang terletak di Tanjung Kubong yang menghasilkan sebanyak lima megawatt (MW) dan Symbior Solar di Kampung Bukit Kalam,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Geoffrey berkata bagi mencapai perancangan pelan hala tuju itu penekanan terhadap kepentingan dasar yang teguh dan rangka kerja kawal selia untuk menyokong inisiatif tenaga mampan khidmat perundingan dan nasihat adalah penting untuk membantu mengemudi peraturan baharu dengan sebaiknya.

Jelasnya, mewujudkan dan mengekalkan persekitaran kawal selia yang konsisten sudah tentu mempunyai cabaran terutamanya di wilayah yang mempunyai landskap sistem pentadbiran yang kompleks.

“Bagi memastikan dasar itu dapat dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan berkesan di seluruh Sabah, Sarawak dan Labuan memerlukan tadbir urus dan penyelarasan yang kukuh antara pihak berkuasa  di peringkat persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan (pbt).

“Walau bagaimanapun, pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui ini menghadapi cabaran yang ketara.

“Kestabilan politik adalah penting untuk menarik pelaburan dan memastikan kesinambungan dasar tenaga. Sebarang pergolakan politik atau perubahan dalam kerajaan boleh mengganggu garis masa projek dan aliran pelaburan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas