BEBERAPA projek berkaitan penambahbaikan infrastruktur bekalan air di pulau bebas cukai dijangka siap pada hujung tahun sebelum Disember ini.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, langkah komprehensif yang diambil adalah untuk meningkatkan infrastruktur asas Labuan adalah demi manfaat penduduk.
Katanya, ketika ini kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur bekalan air sedang dijalankan dan akan memberi kesan gangguan bekalan air di beberapa tempat.
“Bekalan air ini terganggu disebabkan infra paip yang lama dan rosak serta pelbagai kerosakan lain seperti pam dan sebagainya. Namun, kerja-kerja penambahbaikan di beberapa kawasan dijangka siap pada hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat bersama Bahagian Bekalan Air (BBA) Labuan, di Wisma Perbadanan Labuan, baru-baru ini.
Tambah beliau, beberapa langkah telah diambil bagi mengatasi masalah berkenaan agar bekalan air dapat disalur kepada pengguna di kawasan yang terlibat.
“Untuk mengatasi masalah itu, saya telah mengarahkan kepada bahagian bekalan air dan Perbadanan Labuan untuk mengenal pasti kawasan yang terlibat dalam gangguan bekalan air.
“Kita akan berusaha memastikan yang terjejas mendapat bekalan air dan kita sentiasa bersedia untuk membantu dari segi penambahan bajet tertentu jika perlu,” ujar beliau.
Terdahulu, menerusi Belanjawan 2024, sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi kerja pembaikan dan penggantian paip air di Pulau Enoe dan Bukit Kalam pada suku kedua 2024.
Kerajaan Persekutuan terus komited menangani masalah gangguan bekalan air di Labuan dan menjadikan ia keutamaan sejajar dengan arahan perdana menteri. – WILAYAHKU