GENAP setahun memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa jelas menunjukkan kesungguhannya dalam memacu semula pembangunan Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan yang berdaya saing meliputi aspek pertumbuhan sosioekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan penduduk.
Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, sepanjang menerajui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) beliau sentiasa menitikberatkan jalan penyelesaian jangka masa pendek dan panjang mengenai isu gangguan bekalan air dan elektrik yang telah dihadapi oleh penduduk Labuan sejak sekian lama.
“Sejak Dr Zaliha menerajui Wilayah Persekutuan, beliau kerap mengadakan lawatan kerja ke Labuan untuk menyelesaikan isu berbangkit dengan melaksanakan pelbagai usaha termasuk menubuhkan tiga pasukan khas yang memfokuskan kepada pelancongan, pemindahan kargo dan pembangunan infrastruktur termasuk projek jambatan (Labuan-Menumbok),” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Simsudin turut menyifatkan Zaliha bertekad mahu memperkasakan nasib usahawan kecil di pulau ini agar aliran ekonomi tempatan dapat ditingkatkan.
“Antara usaha adalah menerusi Program Usaha Jaya insan (PUJI) dengan enam komponen utama merangkumi program pendayaupayaan ketua isi rumah yang produktif dalam meningkatkan lantai pendapatan.
“Secara keseluruhannya, saya beranggapan bahawa Labuan kini dalam proses membangun dan mekanisme yang dibawa oleh Dr Zaliha untuk memacu Labuan sememangnya telah menunjukkan hasil meskipun ia masih di tahap permulaan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Dr Jaludin Janteng berkata, Dr Zaliha harus dipuji kerana beliau sentiasa berusaha untuk memacu pembangunan, ekonomi dan taraf hidup penduduk Labuan.
Katanya, Labuan sebagai sebuah wilayah yang unik dengan potensi besar memerlukan pendekatan strategik yang holistik dan lestari untuk mencapai matlamat sebagai sebuah pulau yang berdaya saing.
“Kerajaan perlu mengambil beberapa langkah penting termasuk memperkasa beberapa inisiatif sedia ada seperti penambahbaikan infrastruktur asas, pemerkasaan sektor pelancongan dan fokus kepada pembangunan ekonomi digital. Namun, kesinambungan usaha tersebut memerlukan koordinasi yang lebih kukuh antara kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak swasta untuk memastikan manfaat dirasai secara menyeluruh oleh penduduk di Labuan.
“Berdasarkan kajian yang saya laksanakan, pulau ini harus mempunyai tujuh strategik yang boleh dipertimbangkan, antaranya memperkasakan peranan Labuan sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa dengan menawarkan insentif cukai baharu untuk menarik lebih banyak pelabur asing dan meningkatkan daya saing.
“Langkah ini boleh diperkukuh dengan memodenkan perkhidmatan kewangan menggunakan teknologi blockchain dan fintech, yang selari dengan perkembangan teknologi global,” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]