KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM19.2 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (S1 2024), menigkat 33.1% daripada RM14.42 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama pada tahun lepas.
Pendapatan boleh agih ini tidak termasuk keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata prestasi pasaran global pada suku pertama 2024 adalah berikutan pertumbuhan global yang berdaya tahan, terutamanya bagi ekonomi maju.
Menurutnya, indeks FBM KLCI meningkat 10 peratus setakat tahun ini, mencerminkan peningkatan keyakinan dalam pertumbuhan dan kesan pelbagai dasar baharu terhadap ekonomi dan industri.
“Di peringkat antarabangsa, ekonomi AS terus berkembang, seterusnya menurunkan jangkaan pemotongan kadar Fed pada tahun ini, selain indeks saham utama yang telah mempamerkan rali kukuh pada suku pertama, didorong oleh lonjakan saham berkaitan kewangan, penjagaan kesihatan dan teknologi.
“Walaupun prestasi suku pertama kukuh, pasaran kewangan terus berdepan beberapa risiko yang meluas, iaitu kadar faedah ‘tinggi untuk tempoh lebih lama’, risiko geopolitik dan konflik, dan perubahan dasar berikutan pilihan raya yang dilaksanakan oleh beberapa ekonomi besar tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zulqarnain berkata KWSP mengekalkan jangkaan optimistik terhadap ekonomi domestik yang telah memulakan tahun 2024 atas landasan kukuh dan telah merekodkan pertumbuhan pesat pada 4.2 peratus bagi S1 2024.
Tambah beliau, pasaran buruh negara kekal berdaya tahan, dengan pekerjaan dan kadar penyertaan tenaga buruh terus meningkat.
“Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh pada 2024, disokong oleh pengukuhan permintaan domestik dan pemulihan eksport.
“Bank Negara Malaysia mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar antara 4 peratus dan 5 peratus tahun ini, dan inflasi akan kekal sederhana berpurata antara 2 peratus dan 3.5 peratus,” ujarnya. – WILAYAHKU