Utama

KWP tingkatkan inisiatif buat usahawan di WP

PENIAGA mengambil peluang beramah mesra bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika sesi kunjungan mesra pada program tersebut.
- Diterbit 31 Oktober 2022 8:44 AM MYT

SELARAS dengan usaha kerajaan merancakkan kembali sektor keusahawanan dalam pasca pandemik, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah meningkatkan lagi inisiatif membantu penjaja, peniaga dan usahawan kecil di Wilayah Persekutuan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata antara inisiatif yang dilakukan oleh KWP adalah melanjutkan lesen berniaga percuma kepada 4,500 peniaga di WP menerusi Skim Wilayah Bebas Berniaga (WBB) sehingga hujung tahun ini.

“KWP juga telah menaik taraf Pusat Penjaja dan pasar seperti Anjung Selera Jalan Jujur di Bandar Tun Razak, Pusat Penjaja Lucky Garden Ara Kiri 3, Bangsar dan Pasar Harian Selayang termasuk Pasar Jalan Raja Bot yang sedang dalam proses dinaik taraf.

“Tidak ketinggalan, Program Usahawan Komuniti khusus di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) serta Program MyGrocer@Wilayah yang melahirkan usahawan trak bergerak bagi penjualan barang basah dan keperluan harian,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia 2022 di Dataran Merdeka, pada Khamis (20 Oktober) lepas.

Jelasnya, inisiatif tersebut memanfaatkan seramai 147,000 penduduk di 61 kawasan PPR/PA di Kuala Lumpur dan 19,000 penduduk setempat dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) di Labuan.

Dalam pada itu, Shahidan juga turut menerima pemakluman bahawa Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan memohon peruntukan khas untuk membantu lima persatuan induk di Kuala Lumpur.

“Lima persatuan tersebut adalah Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu WP, Persatuan Pasar Malam KL, Persatuan Food Truck KL, Persatuan Peniaga Bumiputera KL serta Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera KL.

“Walau bagaimanapun, saya akan menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mempertimbangkannya,” ujarnya yang turut menjelaskan KWP amat komited dalam mencari pelbagai kaedah demi meringankan beban ekonomi Keluarga Malaysia serta mengurangkan inflasi kepada mereka.

Sementara itu, Shahidan mengharapkan agar program ini akan diadakan lagi dengan matlamat yang sama iaitu membantu meningkatkan pendapatan usahawan di samping merancakkan lagi ekonomi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana kepada negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas