Berita

KWP setuju jadikan kawasan Kampung Baru sebagai Kompleks Islam

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) malam tadi.
- Diterbit 2 Februari 2022 8:19 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) menerima baik cadangan untuk menjadikan kawasan Kampung Baru sebagai Pusat Kegiatan Islam memandangkan ia mempunyai kemudahan yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu merupakan suatu yang baik dan suasana di kawasan Kampung Baru ini sesuai untuk menjadikan perkara itu realiti.

“Melihat suasana Masjid Kampung Baru ini yang berdekatan dengan Hotel Tamu, ada pusat jualan makanan melayu Islam yang akan dibangunkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terutama di kawasan kedai makan, ia pasti akan menjadi tempat menarik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Pengerusi Perbadanan Kampong Bharu (PKB), Datuk Effendi Zahari dan Pengerusi Masjid Kampung Baru, Datuk Mohd Khay Ibrahim.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohd Nizam Yahya.

Menurut Shahidan, program bercorak insani dan kehidupan masyarakat mesti berterusan sementara menunggu pembangunan Kampung Baru.

“Suasana di kawasan ini akan dipromosi sebagai kawasan kompleks Islam kerana hampir semua kemudahan ada di sini termasuk makanan Islam.

“Masjid ini juga aktif menjalankan program keagamaan dan semua perkara sampingan di sekitar kawasan ini mempunyai hubung kait dan ia perlu dilihat menjadi satu pakej sebagai kompleks Islam,” ujarnya.

Terdahulu, Shahidan menyertai hampir 500 ahli kariah dalam Majlis bacaan Surah Yaasin dan Solat Hajat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022.

Sementara itu, Mohd Ajib dalam ucapannya mencadangkan kepada kerajaan untuk menjadikan Masjid Kampung Baru sebagai Pusat Kegiatan Islam memandangkan jawatankuasa masjid aktif menganjurkan program pengajian dan kebajikan untuk ahli-ahli kariah di kawasan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas