Berita

KWP rancang bina ‘steps’ kedua selepas Steps@Putrajaya

SHAHIDAN (tengah) menekan butang tablet sebagai simbolik ketika melancarkan program Pemetaan Pencahayaan Putrajaya di Steps@Putrajaya di sini malam tadi.
- Diterbit 27 Januari 2022 2:12 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) merancang untuk membina satu lagi ikon seperti Steps@Putrajaya sebagai tarikan baharu di Wilayah Persekutuan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, ikon baharu itu bakal dibina 300 anak tangga itu akan akan dibangunkan dengan konsep baharu dan kos pembinaan akan dikurangkan.

Steps@Putrajaya ini dibina dengan menggunakan konkrit, manakala steps yang kedua itu nanti dikurangkan kos dan dibina menggunakan konsep semula jadi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bulan Pencahayaan Pemetaan Putrajaya di Steps@Putrajaya di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar, Naib Presiden Kanan Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun.

Beliau berkata, pertunjukan pencahayaan itu menggunakan konsep Keluarga Malaysia bagi menunjukkan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Konsep Keluarga Malaysia bermakna semangat kekitaan iaitu ‘Our City Our Home‘ dan sebab itu kita paparkan dalam sambutan malam ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, PPj dalam satu kenyataan berkata, bulan pencahayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya diwarnakan dengan pemetaan pencahayaan yang julung kali diadakan di Tangga Putrajaya, Presint 1 Putrajaya.

“Pemetaan cahaya ini akan berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 Januari 2022 di Tangga Putrajaya bermula dari jam 9 hingga 11 malam.

“Ia memaparkan kejayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya dari awal perancangan, seni bina dan pengurusan alam sekitar dari awal tahun 1995 sehingga ke hari ini,” katanya.

PENCAHAYAAN menggunakan lampu kuning, biru dan merah yang melambangkan warna bendera Wilayah Persekutuan menjadi konsep utama Pemetaan Pencahayaan Putrajaya yang berlangsung dari 26 Januari sehingga 29 Januari ini.
DEMONSTRASI silat dari Persatuan Silat Lincah Cawangan Putrajaya turut diadakan bagi menyerikan majlis pelancaran Pemetaan Pencahayaan Putrajaya.

PPj memaklumkan, semua fasad bangunan kerajaan dan bangunan komersil di Putrajaya akan dinyalakan pencahayaan jenis ‘Festive Mode’, selaras dengan Pelan Induk Pencahayaan Putrajaya bermula dari 26 Januari sehingga 28 Februari 2022,

“Pencahayaan ‘warm white’ ini akan menyerlahkan lagi elemen-elemen seni bina, tekstur serta warna asal bahan-bahan pada bangunan ikonik di Putrajaya yang berunsurkan kiasan seni bina Islamik moden dan seni bina Melayu moden, seperti bangunan Perdana Putra (Pejabat Perdana Menteri), Istana Kehakiman, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan lain-lain bangunan di sekitar Putrajaya.

“Lampu kuning, biru dan merah yang melambangkan warna bendera Wilayah Persekutuan akan dipancarkan pada jambatan-jambatan ikonik seperti Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana dan air pancut di tasik Putrajaya,” kata kenyataan itu. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas