SEBANYAK 54 program berjumlah RM1,649,195 telah diluluskan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) pada tahun ini sebagai bukti komitmen berterusan dalam menyokong bakat sukan negara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata bermula tahun lalu, geran KWASN bukan lagi eksklusif kepada Persatuan Sukan Kebangsaan sahaja tetapi juga kepada atlet dan pasukan individu.
“Ini adalah langkah penting untuk memastikan tiada sesiapa pun diabaikan tidak kira sama ada mereka berada di bawah badan sukan rasmi atau bebas,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sehubungan itu, Hannah menyarankan mereka yang memenuhi kriteria untuk memohon KWASN.
“Kejayaan bermula dengan langkah pertama yang berani. Marilah kita membina sebuah negara sukan yang berjaya dengan setiap bakat yang layak mendapat peluang,” katanya.
KWASN adalah geran yang diwujudkan untuk membantu badan sukan negara dan atlet bebas menganjurkan program atau aktiviti sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Ia juga bertujuan untuk membantu penyertaan atlet dalam pertandingan antarabangsa bagi memperbaiki ranking mereka. – WILAYAHKU