KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menawarkan moratorium penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi tempoh tiga ke enam bulan kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan dengan bencana banjir.
KUSKOP menerusi kenyataan, berkata terdapat usahawan dan koperasi yang mengalami kerugian akibat kerosakan premis, peralatan dan stok barangan perniagaan akibat banjir.
Pelaksanaan moratorium kepada usahawan yang menjadi mangsa banjir ujar KUSKOP adalah sejajar dengan prinsip kerajaan.
“Dalam tempoh moratorium, mereka mempunyai masa untuk memberi fokus kepada usaha-usaha pemulihan tanpa memikirkan tekanan kewangan daripada pinjaman yang perlu dibayar.
“Usahawan yang terjejas boleh menghubungi pejabat cawangan agensi KUSKOP berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan inisiatif banjir yang ditawarkan,” katanya.
Buat masa ini, misi bantuan awal KUSKOP melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah digerakkan di beberapa lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
TEKUN telah melaksanakan aktiviti penyediaan makanan kepada 1,500 mangsa banjir iaitu di tiga PSS di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.
Sementara di Kedah pula, penduduk kampung yang terputus bekalan air bersih turut diberi bantuan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melalui
Koperasi Melayu Pulau Pinang Berhad yang melaksanakan bantuan khidmat masyarakat.
“Bekalan air bersih dari telaga boring milik Koperasi dihantar kepada penduduk sekitar Jeneri, Kedah.
“la bertujuan meringankan beban penduduk dengan membekalkan air bersih setelah lebih tiga hari penduduk kampung terputus bekalan air.
“KUSKOP juga telah merangka pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara besar-besaran selepas banjir pulih dengan pelbagai inisiatif bantuan dan program pembersihan pasca banjir yang akan dilaksanakan oleh Skuad Ihsan MADANI KUSKOP,” katanya. – WILAYAHKU