Berita

KUSKOP lantik tiga pengerusi baharu agensi di bawah kementerian

- Diterbit 4 April 2024 12:10 PM MYT

BEKAS Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), manakala bekas Pengerusi Akademi Pelatihan, Penerangan dan Penyelidikan Selangor Mustaffa Kamil Ayub dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Amanah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), berkuat kuasa 15 Mac lepas.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam satu kenyataan hari ini turut memaklumkan Ahli Parlimen Batu Pahat, Johor, Onn Abu Bakar pula dilantik sebagai Pengerusi Institut Koperasi Malaysia (IKMa) berkuat kuasa 1 Mei ini.

Ahmad Norihan memulakan kerjaya dalam Tentera Darat pada 15 Mei 1987 sebagai Ketua Platun di 302 Batalion Infantri sebelum bertukar ke Kor Risik Diraja dan ditugaskan di Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (kini dikenali sebagai Pertubuhan Perisikan Pertahanan).

“Ahmad Norihan telah melalui satu perjalanan kerjaya yang cemerlang. Tempoh perkhidmatannya diwarnai dengan khidmat cemerlang yang telah melayakkan beliau memegang jawatan penting di pelbagai peringkat dalam Tentera Darat dan Angkatan Tentera Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Mustaffa Kamil pula merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Genetik dan Ijazah Sarjana Sastera (Sains Politik) dari Universiti Kebangsaan Malaysia, manakala Onn yang sangat aktIf dalam bidang politik dan perniagaan merupakan pemegang ijazah dalam bidang Kejuruteraan Awam dari Oita National College di Jepun.

Menurut KUSKOP pelantikan bagi ketiga-tiga jawatan itu telah diumumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

KUSKOP memaklumkan Ewon menzahirkan keyakinan bahawa Ahmad Norihan, Mustaffa Kamil dan Onn akan meneruskan kepimpinan serta memacu kecemerlangan dalam merancakkan agenda keusahawanan dan koperasi negara ini selaras dengan hasrat kerajaan ke arah pembangunan Malaysia MADANI.

“KUSKOP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan ini,” menurut kementerian itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas