Berita

KUSKOP cadang anjur Karnival Usahawan Wanita sempena ASEAN-Malaysia 2025

- Diterbit 8 November 2024 3:42 PM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mencadangkan satu karnival usahawan Wanita diadakan sewaktu kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Timbalan Menterinya Datuk Seri R Ramanan berkata perkara itu akan dibawa kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan pengurusan tertinggi KUSKOP sebelum diusulkan kepada kementerian lain bagi tujuan kerjasama strategik.

“Masih dalam perbincangan, tema ASEAN 2025 ialah Inclusivity and Sustainability (Keterangkuman dan Kemampanan) jadi kita nak ambil inspirasi dari tema berkenaan untuk melibatkan golongan usahawan wanita kita melalui penganjuran karnival.

“Ia adalah satu peluang berharga memandangkan Malaysia akan menyaksikan kemasukan delegasi luar negara dan melalui penganjuran karnival, mereka boleh mendapatkan produk kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Usahawan Wanita Malaysia 2024 (KUWM).

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi Asean kepada Malaysia pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Asean ke-44 dan ke-45 yang berlangsung bersama dengan Sidang-Sidang Kemuncak berkaitan dan Majlis Penyerahan Jawatan Pengerusi Asean di Vientiane.

Tugas Malaysia sebagai Pengerusi Asean bermula secara rasmi pada 1 Jan 2025.

Sementara itu, Ramanan berkata Karnival Usahawan Wanita bermula hari ini sehingga 10 November di IOI Grand Exhibition and Convention Centre, Putrajaya dijangka menjana nilai jualan sebanyak RM2 juta menerusi penglibatan 100 reruai.

Beliau berkata antara penglibatan reruai seperti produk kecantikan, makanan dan fesyen.

Ramanan turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur iaitu Syarikat Nu Ideaktiv (New Idea Aktif) Sdn Bhd serta KUSKOP di atas inisiatif penganjuran karnival ini yang melibatkan dua jenama ikonik, Mingguan Wanita dan Nona di bawah naungan Ideaktiv (Idea Aktif).

“Saya difahamkan ramai usahawan-usahawan wanita hebat yang telah menyertai karnival pada kali ini seperti Bizmilla di bawah penyanyi terkenal Mila Jirin, Air Tangan Fauziah Ahmad Daud, YUVA yang merupakan syarikat pakaian dan fesyen India, Tiffin Jeiwa serta pereka beg fesyen wanita terkemuka negara, Christy Ng.

“Adalah menjadi harapan saya supaya Karnival Usahawan Wanita Malaysia 2024 bakal menjadi titik permulaan yang bermakna bagi wanita yang ingin mengorak langkah dalam dunia perniagaan keusahawanan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas