Berita

Kurikulum baharu 2027: KPM fokus penguasaan asas literasi, numerasi

- Diterbit 20 November 2024 2:30 PM MYT

PENGUASAAN asas literasi dan numerasi menjadi fokus utama Kementerian Pendidikan (KPM) untuk Tahap 1 sekolah rendah dalam pelaksanaan kurikulum baharu persekolahan menjelang 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, untuk itu pihaknya sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara.

Ia katanya, termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.

“Kelas prasekolah akan diperluaskan ke seluruh institusi pendidikan di bawah KPM dalam usaha memastikan isu keciciran murid termasuk penguasaan literasi dan numerasi dapat ditangani dari peringkat awal,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai silibus baharu yang akan diguna pakai KPM menjelang 2027.

Kah Woh berkata, Pasukan Petugas Khas Intervensi Kurikulum iaitu satu daripada pasukan di bawah Reformasi Pendidikan bertanggungjawab melaksanakan inisiatif menangani isu keciciran pembelajaran dalam kalangan murid.

Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan dalam intervensi kurikulum ialah pengesanan awal literasi dan numerasi murid Tahun 1.

“Pengesanan ini dilaksanakan seawal tiga bulan pertama persekolahan Tahun 1 yang bertujuan mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

“Pengesanan ini juga akan dapat mengenal pasti murid yang belum menguasai literasi dan numerasi supaya intervensi awal yang sesuai dapat dilaksanakan.

“Pelaksanaannya akan dapat mengurangkan bilangan murid sekolah rendah yang belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) seterusnya membina keyakinan diri untuk belajar dan berkomunikasi dengan berkesan pada tahap persekolahan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau memberitahu, selain itu, Kurikulum Persekolahan 2027 juga meletakkan penguasaan literasi dan numerasi sebagai fokus utama kurikulum Tahap I peringkat sekolah rendah.

Tambahnya, fokus ini bertujuan memastikan murid menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira sebelum mengikuti persekolahan Tahap II.

“Hal ini kerana murid perlu menguasai literasi dan numerasi bagi membolehkan mereka bersedia mengikuti pembelajaran di tahap seterusnya.

“Semakan kemajuan murid akan diadakan bertujuan memastikan penguasaan literasi dan numerasi murid. Murid yang belum menguasai literasi dan numerasi akan diberikan intervensi yang bersesuaian agar mereka tidak tercicir dalam pembelajaran,” katanya.

KPM jelasnya, yakin inisiatif yang dirancang ini dapat meningkatkan tahap penguasaan literasi dan numerasi dalam kalangan murid sekolah rendah agar tidak terus ketinggalan dalam sistem pendidikan negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas