PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penjawat awam diberi pendedahan dalam teknologi baharu bagi meningkatkan kecekapan pengurusan.
Beliau melihat ia sebagai sesuatu yang penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap konsultan luar, seiring dengan perubahan zaman.
Malah katanya, perubahan semasa menuntut penjawat awam meningkatkan prestasi dan potensi.
“Waktu saya ambil alih jawatan (Perdana Menteri), terlalu banyak, saya lihat, kebergantungan kepada konsultan asing dan luar.
“Oleh yang demikian saya anjurkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) supaya melakukan anjakan semula.
“Kita latih pegawai kerajaan yang muda dengan kepakaran, kemahiran agar dapat memenuhi keperluan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis makan malam mantan KSN dan apresiasi pasukan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) di Putrajaya.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; KSN, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; bekas KSN, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan KPPA, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Terdahulu beliau mengimbau era 80 hingga 90-an apabila tahap kecekapan dan keputusan dilakukan keseluruhannya oleh penjawat awam, dengan penyertaan minimum konsultan luar.
“Saya lihat projek-projek itu dijalankan dengan baik, maknanya jika diberikan penekanan dan latihan, penjawat awam mampu lakukan, tetapi semasa saya mengambil alih jawatan, saya lihat terlalu banyak kebergantungan kepada konsultan asing dan konsultan luar,” tegasnya.
Dalam pada itu beliau berkata, kejayaan pelaksanaan SSPA bukti hasil kerja berpasukan dan komitmen untuk membawa perubahan kepada negara.
“Ia cita-cita untuk bawa perubahan dan menerima bahawa tidak mampu negara ini diangkat martabat dan darjatnya kalau kita kekalkan kaedah dan pelaksanaan lama.
“Kalau kita rasa yakin untuk bawa dan angkat keupayaan negara ini, kita harus terima kenyataan bahawa kaedah lama tidak mungkin dapat dipertahankan,” katanya. – WILAYAHKU