PROJEK Residensi MADANI yang diumumkan kerajaan diyakini dapat mengurangkan jurang pemilikan rumah dalam kalangan masyarakat bandar khususnya di ibu negara.
Demikian ulasan dibuat Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman dalam artikel ditulis bersama Penganalisis Ekonomi di Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Amirul Syafiq Azlan kepada Wilayahku.
Menurut penulisan tersebut, sebagai elemen teras dalam Projek Kejiranan MADANI, Residensi MADANI berdiri sebagai simbol komitmen kerajaan menyediakan perumahan yang inklusif bagi semua lapisan masyarakat.
“Ia sekali gus membantu merealisasikan visi negara untuk perumahan yang mampan dan mesra rakyat di Malaysia,” jelas kedua-dua penganalisis berkenaan.
Mereka berpendapat, realiti ketika ini telah memperlihatkan bahawa terdapat beberapa kelas pendapatan dalam masyarakat terutamanya di kawasan bandar dan berkepadatan penduduk yang tinggi.
Justeru situasi itu menunjukkan kemampuan berbeza setiap individu atau keluarga dalam memenuhi keperluan mendapatkan tempat untuk berteduh.
Tegas mereka, memahami realiti ekonomi semasa, pihak kerajaan berperanan sebagai ejen ekonomi dalam membuat intervensi kepada isu harga rumah yang tinggi.
“Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lima projek pembangunan Kejiranan MADANI Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bagi memberi peluang golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
“Rumah adalah salah satu keperluan asas yang diperlukan setiap individu tanpa mengira latar belakang ekonomi. Berdasarkan Survei Perbelanjaan Isi Rumah 2022, sekurang-kurangnya setiap isi rumah membelanjakan 23.2 peratus daripada sumber pendapatan untuk tujuan perumahan dan kos utiliti berkaitan.
“Kepesatan pertumbuhan ekonomi telah memberikan implikasi kepada tingkat harga rumah terutamanya apabila proses migrasi berlaku dan permintaan rumah meningkat mengikut tekanan pasaran,” katanya.
Mereka berpendapat, umum mengetahui bahawa tanah adalah sumber yang terhad.
Untuk itu pembangunan hartanah yang bergantung kepada sumber yang terhad ini mampu mempengaruhi tingkat harga sesebuah kediaman tersebut.
Terdahulu, menurut anggaran semasa penduduk Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), populasi Kuala Lumpur pada tahun lalu berjumlah 2.01 juta orang, dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sekitar 2.2 peratus.
Tambahan daripada itu, data Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta turut menunjukkan bahawa harga purata rumah di Kuala Lumpur pada suku pertama 2024 adalah sekitar RM799,985, satu angka yang jauh di luar jangkauan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Sebagai perbandingan, harga purata rumah bagi semua negeri di Malaysia adalah pada harga RM481,893.
Harga purata nasional untuk unit bertingkat tinggi di Malaysia pada suku kedua 2024 ialah RM367,201, dengan harga purata di Kuala Lumpur mencapai RM529,807.
“Menyedari populasi penduduk ibu negara yang semakin berkembang dan harga kediaman yang semakin meningkat, kerajaan memberi peluang kepada golongan M40 dan B40 serta golongan belia memiliki rumah dengan harga antara RM150,000 hingga RM200,000,” tambah mereka.