Berita

Kunjungan Ziarah Kasih MADANI, Wan Azizah santuni rakyat

BASIR (kanan) dan Azman (kiri) mengiringi Azizah (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima ketika ziarah kasih yang diadakan baru-baru ini.
- Diterbit 2 Disember 2024 4:24 PM MYT

“SAYA baru sahaja dibenarkan keluar hospital selepas menjalani pembedahan di bahagian usus. Sudah dua bulan, nak makan pun tak berapa selera.”

Demikian jelas Zakaria Abdul Aziz, 83, warga emas yang derita sakit usus ketika ditemui Wilayahku dalam Program Ziarah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kediamannya di Kampung Malaysia Tambahan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biarpun begitu, Zakaria yang mesra disapa Pak Ya, reda dengan ujian Allah SWT dan menunggu hari untuk bertambah sihat.

“Kalau sudah sihat nanti saya nak uruskan kebun di belakang rumah. Saya ada tanam pokok bendi dan serai. Dapatlah gerak-gerakkan sikit badan ini,” katanya sambil ditemani isteri, Noraini Abdul Hamid, 70.

Pak Ya yang memiliki 11 anak merupakan bekas Pengerusi Masjid Jamek Ibnu Khaldun, Sungai Besi dan berterima kasih kepada Dr Wan Azizah yang menziarahi keuzuran yang dialaminya ketika ini.

Isteri kepada Perdana Menteri itu turut meluangkan masa menziarahi Abdul Kareem Said Khadaied yang mana kediamannya di Alam Damai mengalami kebakaran.

Beliau yang juga Ahli Parlimen di kawasan tersebut kemudiannya menziarahi Nur Hidaya Nur Azmin yang merupakan ibu tunggal di Bandar Tun Razak (BTR) dan turut berdepan dugaan masalah kesihatan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Dr Abdul Basir V Kunhimohamed berkata pihak YWP turut berkesempatan menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai kepada tiga buah keluarga terpilih pada Kunjungan Ziarah Kasih MADANI.

“Semoga sumbangan dan bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban hidup yang ditanggung oleh mereka. Semoga Allah memberkati segala usaha kita dan dilimpahi dengan segala kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya.

Terdahulu, program ziarah ini turut mendapat sokongan dan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), YWP, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan beberapa agensi lain yang memandang serius isu kebajikan serta keperluan masyarakat.

Turut hadir Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Rohani Hussin dan Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Strategik & IT YWP, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas