MEMAHAMI keresahan yang dialami oleh rakyat Malaysia susulan peningkatan kes Mpox, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan dengan meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya telah mengaktifkan bilik gerakan Mpox atau cacar monyet di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) bagi memantau serta mengawal wabak tersebut daripada menular ke negara ini.
“Sehingga 27 Ogos lalu tiada kes disyaki virus Mpox dikesan daripada hampir 2.64 juta pengembara yang disaring di pintu masuk antarabangsa.
“Kita sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga berhubung penularan virus Mpox ini dengan mengaktifkan bilik gerakan (CPRC) sejak 16 Ogos lalu bagi memantau situasi dalam dan luar negara.
“Setiap pengembara yang tiba akan melalui proses saringan kesihatan yang ketat bagi memastikan mereka bebas dan tidak memiliki gejala penyakit tersebut,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 33 kes disyaki Mpox dilaporkan di fasiliti kesihatan iaitu 32 kes disahkan negatif dan satu kes masih menunggu keputusan makmal.
“Pengembara dari negara berisiko dinasihatkan membuat pemantauan kesihatan kendiri dalam tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan.
“Buat masa ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang nasihat atau syor untuk diadakan sekatan perjalanan.
“Sehubungan itu, individu yang melawat negara berisiko dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mengamalkan kebersihan kendiri, mengelakkan kontak dengan individu yang bergejala atau haiwan yang sakit, segera merujuk kepada fasiliti kesihatan sekiranya bergejala serta mematuhi garis panduan dikeluarkan KKM dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Dzulkefly turut mengingatkan semua pengamal perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta untuk memberikan notifikasi kes disyaki dan kes yang disahkan Mpox dengan segera ke Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan.
“Pengamal perubatan boleh merujuk kepada garis panduan ‘Guidelines on Mpox management in Malaysia 2023’ di laman sesawang portal rasmi KKM di www.moh.gov.my.
“Dalam pada itu, sesi secara maya juga diadakan bersama Kementerian Luar dan perwakilan Malaysia di negara-negara Afrika bagi menggembleng kerjasama untuk mendapatkan serta menyampaikan maklumat kepada warga Malaysia yang berada di negara berkenaan,” katanya.
Jelasnya lagi, antara langkah lain yang disarankan KKM adalah mempertingkatkan aktiviti kesedaran Mpox dan edaran bahan pendidikan kepada kumpulan berisiko dengan kerjasama badan bukan kerajaan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti seperti spa dan sauna.
“Selain itu, memastikan premis-premis yang menyediakan perkhidmatan yang melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa, urutan dan lain-lain aktiviti berisiko untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di samping memastikan tiada pekerja atau pelanggan di premis berkaitan mengalami gejala atau menunjukkan tanda Mpox seperti ruam atau lepuh pada kulit,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dzulkefly berkata KKM turut menyediakan makmal bagi mengesan jangkitan wabak.
“Kita mempunyai 13 makmal yang mampu membuat ujian pengesanan Mpox iaitu lapan makmal kerajaan dan lima makmal swasta, dua daripadanya berupaya membuat ‘sequencing’ maklumat genetik untuk mengesan varian virus yang dikesan,” ujarnya.
Terdahulu, pada 15 Ogos lepas, KKM telah mengesahkan tiada kes baharu Mpox dilaporkan di Malaysia setakat ini, meskipun berlaku peningkatan kes penyakit tersebut di rantau Afrika baru-baru ini.
KKM memaklumkan di Malaysia, jumlah keseluruhan Mpox yang disahkan setakat ini ialah sembilan kes dengan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan yang terakhir pada November 2023. – WILAYAHKU