MYKAD, kad bank, kunci kereta dan telefon bimbit antara 45 barangan penting milik pengunjung yang ditemui tertinggal semasa penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2024 pada 22 Ogos hingga 1 September di Persisiran Tasik Presint 2 Putrajaya.
Gambar barangan tersebut dimuat naik oleh pentadbir Facebook Perbadanan Putrajaya (PPj) sekali gus mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai lebih-lebih lagi mereka yang tertinggal kunci kereta.
Rata-rata pengguna tertanya-tanya sama ada pengunjung tersebut pulang ke rumah untuk mengambil kunci pendua terlebih dahulu sebelum berpatah kembali ke penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2024 bagi mengambil kereta mereka.
“Masalahnya, benda lain tak apa lagi. Kunci kereta tu,” komen Nor Muhammad Taufik di Facebook PPj.
“Kunci kereta tu, rasa-rasa depa (mereka) balik naik apa ya? Hehehe, pergi ambil kunci pendua la kot ya?” soal Nurul Fazaly.
“Yang tertinggal kunci kereta mesti dia balik naik teksi air,” kata Muhammad Shahrom Redzuan Sapian secara berjenaka.
Dalam pada itu, ramai yang memuji pihak PPj kerana menyimpan dan memuat naik gambar di Facebook supaya pengunjung peka mengenai kehilangan barangan mereka.
Pemilik yang kehilangan barangan tersebut boleh membuat tuntutan bermula 3 hingga 8 September di Kaunter Informasi Taman Botani Putrajaya, Presint 1 pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 5 petang.
Anda juga boleh hubungi pegawai PPj terlebih dahulu di talian 016-566 2546 (Liyana) atau 013-967 9808 (Syahida). – WILAYAHKU