Berita

Kumpul harapan, idea warga kota

BELANJAWAN 2023 disediakan mengikut keperluan dan harapan warga kota selari dengan visi Bandar Raya Sejahtera Untuk Semua menjelang tahun 2030.
- Diterbit 14 April 2022 6:50 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengalu-alukan penyertaan warga kota untuk menyumbangkan idea dan cadangan bagi membentuk Belanjawan 2023. Unit Media, Jabatan Perancangan Korporatnya dalam satu kenyataan berkata, DBKL sedang dalam proses menyediakan Belanjawan 2023.

“Selari dengan visi ‘Bandar Raya Sejahtera Untuk Semua Menjelang Tahun 2030’, Belanjawan 2023 akan disediakan mengikut keperluan dan harapan warga kota Kuala Lumpur,” kata kenyataan itu baru-baru ini.

Kenyataan itu berkata, idea dan cadangan tersebut boleh diberikan berdasarkan kepada lapan program utama yang disenaraikan.

“Antara program tersebut adalah pembersihan bandar dan kesihatan; kemudahan infrastruktur jalan raya, sistem lalu lintas dan saliran; penghijauan, kemudahan taman dan kemudahan rekreasi.

“Selain itu, penyelenggaraan perumahan awam dan perumahan rakyat; kesejahteraan komuniti; pengurusan penjaja dan peniaga kecil; kebudayaan, sukan dan pelancongan; dan kemudahan awam lain,” katanya.

Menurut kenyataan itu, orang ramai yang ingin menyumbang idea dan cadangan Belanjawan 2023 boleh berbuat demikian menerusi capaian portal Idea Belanjawan DBKL 2023 https://sites.google.com/view/ideabelanjawan2023 yang dibuka selama dua bulan bermula 1 April hingga 31 Mei ini.

Tambah kenyataan itu lagi, warga kota diseru mengambil peluang ini untuk memberi idea dan cadangan Belanjawan 2023 bagi membantu DBKL merangka pelbagai perancangan, strategi serta inisiatif untuk mensejahterakan warga kota selari dengan tagline #KLBandarUntukSemua dan #KLbandarku. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas