KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) berusaha mengumpulkan bakat-bakat terbaik dalam kalangan masyarakat untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi cabaran pertahanan yang semakin rumit.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bakat terbaik itu dapat digunakan bagi mengukuhkan ketumbukan pertahanan dalam pelbagai jenis ilmu, kemahiran dan keupayaan.
“Berbekalkan realiti tu, MINDEF dan ATM mahu memberi perhatian kepada usaha mengumpul bakat-bakat terbaik, kita mahu menarik seramai mungkin bakat terbaik dalam pelbagai bidang di luar sana untuk menyertai ATM.
“Hanya dengan mempunyai bakat terbaik, pelbagai keperluan dan cabaran pertahanan masa depan dapat kita uruskan dengan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Universiti Luar Negara 2024 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata ramai rakan sejawat dari pelbagai negara mengakui mengenai keperluan dan kepentingan mengukuhkan ketumbukan pertahanan dengan pelbagai jenis ilmu, kemahiran dan keupayaan.
Maklumat itu diperoleh semasa beliau bersama delegasi MINDEF menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan di bawah Five Power Defence Arrangements dan Shangri La Dialogue 2024 di Singapura minggu lalu.
Mengulas mengenai insentif dan bantuan yang disampaikan hari ini, Mohamed Khaled berkata ia adalah penghargaan dan ucapan terima kasih kerajaan atas pengorbanan serta jasa anggota ATM selain keprihatinan kerajaan dan MINDEF terhadap aspek kebajikan serta pendidikan anak-anak anggota.
“Apabila kita perkenalkan program dan insentif sebegini, sudah pastilah ia akan turut menjadi tarikan kepada masyarakat di luar sana untuk menghormati dan menyertai ATM kerana mereka dapat melihat bahawa ekosistem dan kualiti hidup anggota ATM adalah baik dan sentiasa diberikan perhatian.
“Kejayaan pendidikan anak-anak anggota ATM adalah satu daripada bentuk pelaburan ke atas benteng pertahanan jangka panjang dengan memberi fokus kepada usaha melahirkan generasi masa hadapan yang pintar, yang boleh menyumbang kepada negara, sudah pastilah ia akan membantu pembangunan dan kemajuan negara,” katanya.
Beliau berkata pengiktirafan terhadap kecemerlangan pendidikan itu menyampaikan mesej jelas kepada semua pihak bahawa ATM mahukan bakat terbaik, generasi berpendidikan tinggi, pintar dan berilmu menyertai pasukan serta meneruskan agenda pertahanan dan kedaulatan negara.
Pada majlis tersebut, seramai 84 pelajar menerima insentif RM1,000 bagi kategori Institut Pengajian Tinggi Awam manakala 10 pelajar menerima insentif RM2,000 bagi kategori Universiti Luar Negara sumbangan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT).
Sejak 2001 hingga tahun lepas, YLTAT telah menyalurkan sumbangan lebih RM2.3 juta kepada anak warga ATM yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA dan universiti luar negara melibatkan 2,247 pelajar. – BERNAMA