KULIAH Maghrib Perdana oleh penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada hari ini telah ditangguhkan ke tarikh baharu.
Menurut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pemakluman penangguhan telah dimaklumkan oleh pihak masjid berikutan terdapat beberapa acara utama yang telah dirancang.
“Pemakluman penangguhan undangan kepada pihak penceramah telah dimaklumkan awal bagi proses penyusunan semula jadual pengkuliahan.
“Justeru isu pembatalan adalah tidak berbangkit sama sekali,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
JAWI turut berharap agar segala permasalahan dapat diselesaikan dengan baik.
“Kami berpandangan agar sebarang isu yang timbul dapat ditangani secara harmoni berlandaskan semangat persaudaraan antara semua pihak,” ujarnya.
Tambahnya pihak JAWI amat komited untuk memastikan institusi masjid dan surau terus berperanan sebagai pengkalan ibadah, pusat ilmu dan penyatuan masyarakat.
“Ia juga adalah berdasarkan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019, dan Garis Panduan Program Pengajian Serta Pengimarahan Masjid dan Surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, penceramah tersebut memaklumkan menerusi akaun Facebooknya bahawa pembatalan kuliahnya itu adalah atas arahan pihak tertentu.
Sebelum ini, sudah beberapa kali kuliah Ustaz Azhar Idrus yang dijadualkan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pernah dibatalkan atas faktor tiada pentauliahan daripada Jabatan Agama Islam.
Antara yang dibatalkan adalah Kuliah Maghrib Perdana yang dijadualkan berlangsung di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada 26 Februari lalu. – WILAYAHKU