KUIH CHANG atau Bak Chang merupakan hidangan tradisi kaum Cina, namun ia kini boleh dinikmati semua lapisan masyarakat kerana terdapat pengusaha berbangsa Melayu.
Merupakan makanan tradisi untuk meraikan Festival Dragon Boat yang disambut pada hari ke 5 dalam bulan 5 kalendar Lunar, kuih chang muncul pada zaman Dinasti Zhou dan berkaitan dengan simpati rakyat kepada Qu Yuan yang bunuh diri dengan melompat ke dalam Sungai Miluo.
Ia dibuat daripada beras pulut yang diisi inti seperti daging, kacang dan cendawan sebelum dibalut dengan daun buluh untuk dikukus dan dikeringkan.
Menurut peniaganya, Siti Rafitah Rakhimi, 35, dia nekad untuk membuat dan menjual kuih chang selepas melihat rakan kerja keturunan Cina makan di pejabat.

“Saya banyak belajar melalui Youtube. Pada awalnya memang sukar untuk mendapatkan balutan yang kemas tetapi selepas berlatih berkali-kali, alhamdulillah saya semakin mahir dan tangkas membalut kuih chang menggunakan daun buluh.
“Selain itu, kawan-kawan Cina juga banyak memberi galakan dan komen membina untuk saya membaiki resepi kuih chang.
“Saya memilih untuk berniaga kuih chang halal kerana tidak ramai lagi peniaga muslim yang membuatnya serta mempunyai permintaan tinggi terutama dalam kalangan Cina Muslim,” katanya kepada Wilayahku.
Mencerita lanjut, Siti Rafitah berkata, dia mula berniaga secara sambilan sejak enam tahun lalu dan pelanggan makin bertambah serta tidak putus-putus membuat tempahan.
“Alhamdulillah selalunya setiap tahun tempahan meningkat semasa Festival Dragon Boat. Tahun ini Shopee buat tempahan 1,200 biji manakala untuk pelanggan atas talian yang lain dianggarkan kira-kira 2,600 biji seminggu.
“Harga sebiji kuih chang bergantung kepada intinya. Buat masa ini, saya menjual empat jenis kuih chang iaitu Hokkien (RM6/sebiji), Nyonya (RM6/sebiji), Kacang (RM3/sebiji) dan Kee Chang (RM1/sebiji).
“Kos untuk membuat sebiji kuih chang biasanya mencecah separuh daripada harga yang dijual kerana barang yang digunakan seperti daun buluh agak sukar diperoleh,” katanya yang mendapati kuih chang dijual sehingga RM12 sebiji.
Dalam pada itu, Siti Rafitah juga berkongsi kisah pelanggan berbangsa Cina yang lebih 25 tahun tidak merasai kuih tradisi itu kerana menganut agama Islam.
Bagi yang ingin mendapatkannya, sila hubungi 010-298 5021 (Siti Rafitah).
