Oleh ZULKIFLI SULONG
KIRA-KIRA 23 tahun lalu iaitu pada 2 Julai 2000, sekumpulan militan iaitu Al-Ma’unah telah melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah pada waktu subuh dan melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor persenjataan.
Kumpulan tersebut kemudiannya mendirikan pangkalan rahsianya di kawasan hutan berhampiran perkampungan di Sauk, Negeri Perak dan terlibat dalam pertempuran dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ia menjadi sejarah hitam Malaysia apabila 29 orang ini terpengaruh dengan janji-janji yang diberikan oleh pemimpin mereka bahawa mereka dijanjikan syurga jika mati syahid melawan kerajaan yang dianggap zalim dan kafir.
Namun pengalaman berada di balik tirai besi selama 20 tahun menjadi pengajaran memeritkan buat bekas banduan pergerakan Al-Ma’unah ini. Ia diceritakan kembali oleh salah seorang daripada mereka, Mohd Ramli Mahmood.
Mohd Ramli, 70, berkata disebabkan terlalu percaya kata-kata rakannya bahawa ajaran itu hanya melibatkan ilmu perubatan dan persilatan, dia mengambil jalan mudah tanpa berfikir panjang menyertai pergerakan haram itu pada tahun 2000.
“Saya mula menyertai Al-Ma’unah ketika berusia 47 tahun bersama 29 ahli yang lain sebab pada awalnya saya ingatkan pergerakan ini untuk mempelajari ilmu perubatan dan persilatan.
“Tidak disangka rupa-rupanya gerakan ini untuk mengancam negara dengan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita di Program Semarak Merdeka 67 di Kota Bharu 25 Ogos lepas.
Bapa kepada lapan orang anak itu berharap golongan muda kini tidak mudah terpengaruh dengan trend ajaran atau gerakan baharu yang ingin memusnahkan keharmonian negara.
Dia melahirkan rasa syukur apabila terlepas daripada menjalani hukuman penjara seumur hidup setelah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 2020, lapor BERNAMA.
Peristiwa lebih 20 tahun lalu itu boleh berulang kembali di negara ini jika masyarakat terikut-ikut dengan ajaran yang menaikkan emosi atas dasar untuk mati syahid.
Baru-baru ini, seorang penceramah agama turut membakar sentimen sebegini.
“Jangan takut makhluk, jangan takut sesiapa saja, jangan takut pemerintah kerajaan raja besar mana pon, kita nak duduk dalam keadaan aku nak mati syahid,” kata penceramah yang videonya tular di media sosial.
Hasutan begini juga berlaku sebelum ini ketika kerajaan Negeri Perak jatuh pada tahun 2009 lalu.
Beberapa orang telah pergi berguling-guling di depan Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar sehingga ditangkap polis dan dipenjarakan. Pihak yang membuat hasutan hilang entah ke mana.
Begitu juga peristiwa Memali pada 19 November 1985 juga bertitik tolak daripada penanaman sikap ekstrem ke dalam masyarakat. Dari perspektif pihak yang mempertahankan mangsa peristiwa ini, ia adalah manifestasi penentangan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Namun dari aspek lain, ia adalah akibat daripada penanaman sikap taksub dalam kalangan penyokong mereka.
Peristiwa sebegini sebenarnya telah berlaku selepas kewafatan Rasulullah SAW bahkan ia telah disebut dalam satu hadis baginda.
“Apakah engkau mendengar Nabi SAW bersabda tentang khawarij? Ia menjawab: Aku mendengar beliau bersabda sambil beliau arahkan tangannya menuju Iraq – Dari sanalah muncul sekelompok kaum yang membaca Al-Quran tidak melebihi kerongkongan mereka, mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah keluar dari busurnya.” – Riwayat Al-Bukhari (6934).
Menurut laman pengajian alhira.com, ciri-ciri utama khawarij adalah:
- Kaum yang membaca Al-Quran, yang mana bacaan kamu tidak ada nilainya dibandingkan dengan bacaan mereka.
- Solat kamu tidak ada nilainya dibandingkan dengan solat mereka.
- Puasa kamu tidak ada ertinya dibandingkan dengan puasa mereka.
- Menghina amal perbuatan kamu dibandingkan dengan amal perbuatan mereka.
Dari segi politik, khawarij menjadikan naratif akidah senjata untuk melawan musuh politik dengan label kafir, munafik, liberal akidah.
Paling kurang mereka akan memanggil ‘musuh Allah’ terhadap lawan walhal hadis Nabi SAW menegah kita berbuat demikian.
Bila akidah lawannya dianggap sesat, mereka lakukan pelbagai dosa terhadap lawan politiknya seperti memfitnah, ugutan jenayah dan tuduhan qazaf.
Akibat pendirian sebeginilah, golongan khawarij telah membunuh khalifah Islam ketiga iaitu Uthman bin Affan dan juga khalifah keempat iaitu Saidina Ali bin Abi Talib.
Sebelum itu, mereka mengkafirkan sejumlah besar para sahabat, khalifah-khalifah Islam dan umat Islam yang bagi mereka melakukan dosa besar serta maksiat.
Kita perlu memastikan pemikiran khawarij ini tidak wujud semula dalam masyarakat dengan membuang benihnya. Jika tidak, kita boleh berdepan lagi dengan peristiwa hitam yang meragut nyawa umat Islam.
INI sekadar pandangan dari penulis bukan bermaksud untuk menghina mana-mana pihak.