KENAIKAN gaji penjawat awam serta pengumuman kenaikan gaji minimum pekerja swasta bermula Februari 2025 bakal memberi impak positif kepada sektor ekonomi negara sekali gus merancakkan proses jual beli domestik yang akan membantu kepada peningkatan pendapatan negara serta pungutan cukai.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata kesan positif terhadap ekonomi dan diijangka sebanyak RM5 billion penawaran wang akan bertambah ke pasaran domestik setiap bulan apabila kedua-dua elemen kenaikan ini berlaku.
Walau bagaimanapun beliau berkata potensi kenaikan harga barang dijangka berlaku walaupun usaha kerajaan untuk menaikkan gaji kakitangan awam dan gaji minima secara berperingkat.
“Ini kerana pasaran akan bertindak mengikut permintaan yang dijangka meningkat melalui kenaikan ini dan penawaran dari penjual akan memberi reaksi dengan peningkatan harga cuma diharap kenaikan harga adalah pada tahap minima dan tidak membebankan pengguna.
“Jika tidak, tiada kesan yang nyata akan dilihat dari usaha kerajaan dalam memartabatkan pendapatan rakyat,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.
Menurut Bashir, kenaikan gaji yang diumumkan oleh kerajaan bagi kakitangan awam adalah di antara tujuh peratus hingga 45 peratus mengikut kategori jawatan sekali gus berpotensi melonjakkan sektor hartanah.
“Maka dalam konteks ini, ianya akan memberi impak yang ketara terhadap penambahan gaji seterusnya meningkat kuasa beli sedia ada.
“Ini akan mendorong usaha kakitangan kerajaan untuk mencari gaya hidup yang lebih baik dan selesa terutama melibatkan tempat tinggal, maka permintaan terhadap hartanah dan perumahan dijangka akan meningkat lebih-lebih lagi dengan pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA yang sedia ada akan membantu ke arah ini,” katanya.
Bashir Ahmad berkata selain daripada dua sektor berkenaan, sektor lain yang dijangka akan mendapat manfaat besar dalam kenaikan gaji minima dan kakitangan kerajaan adalah sektor perkhidmatan, perniagaan dalam talian (e-platform), logistik, pelancongan dan hartanah.
“Ini kerana sektor berkenaan menjadi tumpuan pada masa kini dari segi permintaan terutama selepas kenaikan yang akan berlaku kerana berikutan sektor tersebut sebelum ini merasa kesan domino melalui peningkatan perbelanjaan terutaman melalui pinjaman peribadi, kenderaan dan perumahan,” katanya.
Menurut beliau peningkatan gaji minima dijangka akan memberi tekanan kos kepada pengusaha-pengusaha di luar sana termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Walau bagaimanapun, sektor PKS dibantu oleh kerajaan melalui pemberian geran perniagaan, bantuan subsidi upah oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta bantuan kewangan melalui pinjaman-pinjaman yang bersifat mikro dan sederhana yang mampu untuk meringankan beban dan tekanan terhadap peningkatan gaji minima.
“Apa yang perlu ditekan oleh PKS adalah memberi tumpuan kepada modal insan pekerja melalui pendedahan kepada teknologi terkini dan latihan pengurusan yang cekap supaya kompetensi, kecekapan dan produktiviti dapat ditingkat untuk membantu meningkatkan output serta hasil jualan dan keuntungan,” katanya.
Meskipun berdepan dengan tekanan inflasi berikutan pengumuman kerajaan, beliau menjelaskan pada dasarnya kerajaan telahpun mengambil beberapa langkah umpamanya pelaksanaan kenaikan gaji kakitangan awam yang dibuat secara berperingkat bertujuan mengurangkan kesan inflasi.
“Pendekatan sama diambil oleh kerajaan dalam mengumumkan kenaikan gaji minima yang dibuat pada kadar kenaikan sebanyak RM200 walaupun ada usaha untuk meminta menaikan gaji minima ke RM2,000 oleh persatuan pekerja umpamanya.
“Selain itu, pelaksanaan gaji minima dan kakitangan kerajaan diberi masa secukupnya untuk dilaksanakan bagi memberi ruang kepada majikan membuat pelarasan kewangan yang sewajarnya bagi melaksanakan kenaikan ini termasuk juga mengimbangi sebarangan kenaikan harga barangan yang mungkin berlaku,” katanya.
Sementara itu, Bashir Ahmad menjelaskan bahawa keadaan ekonomi Malaysia berada pada landasan yang baik serta keadaan inflasi yang stabil dan kadar pengangguran yang minima.
“Faktor ini turut dibantu dengan penetapan Kadar Polisi Semalaman (OPR) yang kekal sepanjang tahun pada kadar 3.0 peratus dengan pulangan kadar faedah dan dividen yang stabil.
“Selain itu pengeluaran bon-bon dan sukuk-sukuk yang lebih terjamin kestabilannya oleh kerajaan dan pihak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan mendorong peningkatan pembelian dan penabungaan kesan dari kenaikan gaji ini.
Tambahnya, orang ramai harus mengambil peluang untuk membentuk tabiat menabung berikutan situasi ekonomi yang kian cerdas serta tawaran kadar faedah yang lebih baik.
“Harus diingat walaupun dijangka kenaikan gaji kakitangan awam dan gaji minima akan merancakkan ekonomi domestik negara, tetapi pada masa yang sama ianya juga akan menarik minat pelaburan dalam kalangan rakyat dengan pulangan dividen yang lebih menarik di samping kadar faedah yang bersifat lebih kompetetif,” ujarnya. – WILAYAHKU