KUALA Lumpur diberi jaminan merupakan bandar yang selamat, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif.
Beliau menafikan dakwaan Kuala Lumpur adalah lokasi tidak selamat dan berpotensi berlaku giant sinkhole seperti yang tular di media sosial.
Menurutnya lagi, Jalan Masjid India turut diberi jaminan terkawal.
“Situasi sekitar Jalan Masjid India khasnya Kuala Lumpur amnya adalah terkawal dan warga ibu kota boleh meneruskan rutin harian seperti biasa.
“Saya berpendapat Kuala Lumpur sudah lama dibina dan dalam tempoh itu ia adalah selamat,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP), Sulizmie Affendy Sulaiman dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat.
Dalam pada itu, beliau berkata jika ada pihak yang mengatakan Kuala Lumpur tidak selamat, ia perlu disertakan bersama bukti dan kajian terperinci berhubung dakwaan berkenaan.
“Oleh itu kalau mengatakan tidak selamat mestilah ada menunjukkan bukti-bukti dan kajian-kajian yang terperinci,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan tular di media sosial Facebook berhubung tempat yang paling tidak selamat di Malaysia adalah Kuala Lumpur, yang berpotensi berlaku giant sinkhole pada bila-bila masa.
Mengulas lanjut, Maimunah berkata sehubungan itu pihaknya telah menubuhkan pasukan khas termasuk bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat kepada aspek keselamatan di ibu negara.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan seorang wanita warga India tertimbus selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam 8 meter (m) di hadapan Masjid India.
Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan pasukan penyelamat giat menjalankan pencarian. – WILAYAHKU