KAWAN-kawan Kedai Kopi tumpang bangga apabila Kuala Lumpur diiktiraf sebagai bandar raya kedua hebat di Asia Tenggara seperti tersenarai dalam Indeks Bandar Global Oxford Economics 2024. Berada pada kedudukan pertama ialah Singapura.
Berdasarkan senarai tersebut juga, ibu negara berada pada kedudukan 135 daripada 1,000 bandar di dunia yang berada dalam indeks berkenaan. Kuala Lumpur mengatasi bandar raya lain, antaranya Bangkok di tempat ke-192, Manila (256) dan Jakarta di tempat ke-284.
Sekadar rekod, bandar raya New York, Amerika, menduduki tempat pertama dalam indeks global berkenaan, diikuti London dan San Jose, juga di Amerika. Kajian indeks berdasarkan kepada 1,000 bandar raya dunia di 163 negara.
Lima kategori terangkum dalam penilaian indeks berkenaan merangkumi ekonomi, modal insan, kualiti kehidupan, alam sekitar dan tadbir urus. Skor daripada setiap kategori diagregatkan untuk memperoleh skor keseluruhan setiap bandar raya.
Kejayaan Kuala Lumpur menempatkan diri pada kedudukan tinggi di peringkat Asia Tenggara dan dunia membuktikan pencapaian markah tinggi dalam kesemua kategori diambil kira dalam penilaian. lni bermakna tadbir urus, pertumbuhan ekonomi dan sosial serta modal insan negara berada pada tahap sangat baik.
Malah kawan-kawan Kedai Kopi turut gembira kerana selain Kuala Lumpur, bandar raya lain di negara ini juga berjaya mencapai kedudukan baik dalam indeks global tersebut. Misalnya Georgetown, Pulau Pinang menduduki tempat ke-351, Melaka di tempat ke-359 dan Johor Bahru di tangga ke-376.
Kejayaan yang dicapai oleh Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain di Malaysia menonjolkan diri di peringkat global bukan sesuatu yang datang sendiri. Sebaliknya ia melalui usaha berterusan dan komitmen kerajaan mensejahterakan rakyat dan membina masa depan negara yang lebih cemerlang dan gemilang. Semoga pada tahun hadapan kejayaan lebih hebat dapat dicapai.