TAHNIAH Kuala Lumpur kerana disenarai di tempat ke-50 sebagai bandar raya terbaik dunia berdasar senarai tahunan World’s Best City (Bandar Terbaik Dunia) yang dikeluarkan baru-baru ini.
Bukan itu sahaja‚ Kuala Lumpur juga diletakkan pada kedudukan ke-45 dalam kategori kemakmuran keseluruhan dan di tangga ke-12 di dunia dalam aspek Penyertaan Tenaga Buruh‚ melambangkan tenaga kerja yang aktif dalam pelbagai sektor.
Ini ditambah dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang merangkumkan ciri-ciri inovasi tradisional dan moden‚ menjadikan ibu negara sebagai salah sebuah bandar raya paling dinamik di Rantau Asia Pasifik.
Kawan-kawan Kedai Kopi bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh Kuala Lumpur dalam pelbagai aspek. Jelas ia menampakkan ibu kota diakui sebagai sebuah bandar raya yang maju pesat membangun serta mendapat perhatian dunia.
Penduduk pelbagai kaum yang hidup harmoni serta kepelbagaian budaya dan makanan turut menjadi aspek penilaian‚ menyimpulkan Kuala Lumpur memiliki segalanya. Kuala Lumpur disifatkan sebagai bandar raya pelbagai kaum dengan pelbagai makanan tradisional yang menambat hati pelancong.
Untuk rekod‚ di atas Kuala Lumpur ialah Zurich‚ Switzerland yang menduduki tempat ke-49 bandar raya terbaik. Kita sebagai rakyat Malaysia wajar berbangga dengan kejayaan dicapai oleh Kuala Lumpur‚ tempat di mana ramai warga kota asal‚ juga dari luar‚ mencari rezeki dan bermastautin membina kehidupan.